Wednesday, July 22, 2009

NASIHAT BUAT ANAK-ANAK ABAH (1)

Abah dulu bermula dari kanak-kanak sepertimu yang kemudian menjadi remaja. Semua sifat kanak-kanak dan remaja telah abah dan umi lalui. Ketika anak-anak lain membesar bersama kasih sayang ibu, namun abah, wak dan cik amat telah hilang kasih sayang ibu sejak kami anak-anak lagi. Kami membesar bersama moyang (hj dawani dan sabinah), pak ajak dan lek jah (embah ust razak dan nenek ustazah bahjah-sg besar), pak udi dan lek yah (embah tarmudi dan nenek zulaikha-klang). Abah mengharungi zaman kanak-kanak tidak seperti anak-anak abah sekarang, kami mengharap kasih sayang embah dan nenek (moyang dawami dan sabinah). Emak abah (kadirah) pulang kerahmatullah ketika kami belum mengenal alam persekolahan.

Abah bersekolah rendah di kampung dengan basikal dan kadang-kala jalan kaki kalau hujan atau jalan lecah. Sekolah menengah agama di batu 38 sabak bernam, tinggal dipondok dengan kawan-kawan. Masak, basuh baju, belajar, bangun pagi, tidur, main, semua kena urus sendiri. Hari ini anak-anak abah tidak merasai jalan hidup, susah payah dan pengalaman seperti itu. Semuanya dah senang.

Oleh itu wahai anak-anak abah, hargailah nikmat kesenangan, fahamilah erti susah payah, renungilah mereka yang kurang bernasib baik, jalan hidup mu lebih baik, mudah dan terbentang luas. Namun ia tidak boleh dicapai tanpa pengorbanan dan penat lelah. Rehat dan santai bukanlah masanya. Oleh itu wahai anakku baca dan amatilah nasihat ini.

Wahai anak-anak abah, yang pertama…..

Hendaklah engkau rajin menuntut ilmu. Ilmu adalah pelita hidup wahai anakku.Ilmu utama adalah agama dan kedua adalah ilmu untuk kehidupan di dunia. Untuk agama, abah dan umi telah memberikan yang secukupnya. Sekolah hidayah adalah yang terbaik buat anak-anak abah. Disana anak-anak mendapat dua keuntungan, ilmu dunia dan akhirat. Ia menjadi tanggungjawab abah dan umi untuk memberi pendidikan serta menyediakan keperluan dan kemahiran yang secukupnya. Walaupun belanjanya besar, memerlukan dana yang banyak, namun abah dan umi tetap berusaha menyediakannya.

Ingatlah, kita tidak hina tanpa harta tetapi hina tanpa ilmu. Ilmu mengangkat martabat kita di sisi Alllah Taala, berlainan dengan harta yang mengangkat darjat di mata manusia dan ia boleh menjatuhkan manusia dalam kehinaan. Mengapa tidak anakku? Harta boleh menjadikan manusia lupa. Harta boleh menjadikan manusia leka. Harta boleh menjadikan manusia tidak mengenal halal dan haram.

Namun begitu wahai anak-anakku, harta mesti dicari, tanpa harta segalanya akan menjadi sukar. Gunakan landasan ilmu untuk mencarinya, insyaallah segalanya akan mendapat redha Allah. Hasilnya hidupmu nanti akan mendapat berkat. Walaupun sedikit, ia tetap mencukupi. Jauhkanlah dirimu dari bermewah-mewah dan membazir, kerana ia amalan syaitan.

Oleh itu dekatkanlah dirimu dengan al-Quran, baca dan bertadabbur dengannya. Ikutilah Sunnah Nabi mu, sallallahu alaihi wasallam sebagai anutan yang benar dan lurus. Keduanya adalah lampu yang terang untuk engkau berjalan di malam yang gelap atau menjadi panduan untuk hidupmu di dunia yang sarat dengan pelbagai ujian. Ia pertunjuk bagimu zahir dan batin, dunia dan akhirat. bersambung.......



ALQURAN & RECITATION

Quran Explorer - [Sura : 1, Verse : 1 - 7]