Khamis, 30/07/2009 -Hamas akan membenarkan pemimpin-pemimpin Fatah yang menginap di Gaza menyertai Kongres Kali Ke-6 pergerakan itu yang akan diadakan di Tebing Barat pada 4 Ogos ini, setelah Fatah berjanji untuk membebaskan 200 anggota Hamas yang ditahan di penjara Tebing Barat.
Sebelum ini Hamas mengumumkan bahawa mereka akan menghalang pemimpin-pemimpin Fatah di Gaza daripada meninggalkan Semenanjung itu selagi anggota-anggotanya yang ditahan di penjara pihak PA di Tebing Barat tidak dibebaskan. Perjanjian ini telah didedahkan oleh sumber-sumber daripada pergerakan Fatah pada hari Rabu, berikutan wawancara dengan Setiausaha Agung Pejabat Presiden Palestin, At-Tayyib Abdul Rahim pada malam Selasa. Seperti yang diumumkan dalam wawancara tersebut, pihak keselamatan PA sedang menyediakan senarai 200 anggota Hamas yang akan dibebaskan dari penjara.
Sekiranya kedua-dua pihak mematuhi perjanjian yang dimeterai, dianggarkan lebih kurang 400 anggota Fatah akan berpeluang meninggalkan Gaza untuk menghadiri persidangan yang julung kalinya dianjurkan dalam tempoh 22 tahun.
Dalam pada itu, keputusan pergerakan Fatah untuk menganjurkan persidangan tersebut di Baitulham telah mencetuskan kemarahan anggotanya yang hidup di dalam buangan kerana mereka tidak akan berpeluang menghadiri persidangan itu. Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas sedang berusaha mendapatkan permit masuk daripada pihak Israel bagi anggota-anggota Fatah yang dijemput. Walaubagaimanapun, sehingga kini tiada jaminan kesemua mereka akan diberi permit memasuki Tebing Barat.
sumber : http://www.imemc.or
penterjemah : salwa
No comments:
Post a Comment