Thursday, July 30, 2009

Nasihat dan Ingatan Buat Anak-anak


Abah dulu bermula dari kanak-kanak sepertimu yang kemudian menjadi remaja. Semua sifat kanak-kanak dan remaja telah abah dan umi lalui. Ketika anak-anak lain membesar bersama kasih sayang ibu, namun abah, wak dan cik amat telah hilang kasih sayang ibu sejak kami anak-anak lagi. Kami membesar bersama moyang (hj dawani dan sabinah), pak ajak dan lek jah (embah ust razak dan nenek ustazah bahjah-sg besar), pak udi dan lek yah (embah tarmudi dan nenek zulaikha-klang). Abah mengharungi zaman kanak-kanak tidak seperti anak-anak abah sekarang, kami mengharap kasih sayang embah dan nenek (moyang dawami dan sabinah). Emak abah (kadirah) pulang kerahmatullah ketika kami belum mengenal alam persekolahan.


Abah bersekolah rendah di kampung dengan basikal dan kadang-kala jalan kaki kalau hujan atau jalan lecah. Sekolah menengah agama di batu 38 sabak bernam, tinggal dipondok dengan kawan-kawan. Masak, basuh baju, belajar, bangun pagi, tidur, main, semua kena urus sendiri. Hari ini anak-anak abah tidak merasai jalan hidup, susah payah dan pengalaman seperti itu. Semuanya dah senang.


Oleh itu wahai anak-anak abah, hargailah nikmat kesenangan, fahamilah erti susah payah, renungilah mereka yang kurang bernasib baik, jalan hidup mu lebih baik, mudah dan terbentang luas. Namun ia tidak boleh dicapai tanpa pengorbanan dan penat lelah. Rehat dan santai bukanlah masanya. Oleh itu wahai anakku baca dan amatilah nasihat ini.


Wahai anak-anak abah, yang pertama…..


Hendaklah engkau rajin menuntut ilmu. Ilmu adalah pelita hidup wahai anakku.Ilmu utama adalah agama dan kedua adalah ilmu untuk kehidupan di dunia. Untuk agama, abah dan umi telah memberikan yang secukupnya. Sekolah hidayah adalah yang terbaik buat anak-anak abah. Disana anak-anak mendapat dua keuntungan, ilmu dunia dan akhirat. Ia menjadi tanggungjawab abah dan umi untuk memberi pendidikan serta menyediakan keperluan dan kemahiran yang secukupnya. Walaupun belanjanya besar, memerlukan dana yang banyak, namun abah dan umi tetap berusaha menyediakannya.


Ingatlah, kita tidak hina tanpa harta tetapi hina tanpa ilmu. Ilmu mengangkat martabat kita di sisi Alllah Taala, berlainan dengan harta yang mengangkat darjat di mata manusia dan ia boleh menjatuhkan manusia dalam kehinaan. Mengapa tidak anakku? Harta boleh menjadikan manusia lupa. Harta boleh menjadikan manusia leka. Harta boleh menjadikan manusia tidak mengenal halal dan haram.


Namun begitu wahai anak-anakku, harta mesti dicari, tanpa harta segalanya akan menjadi sukar. Gunakan landasan ilmu untuk mencarinya, insyaallah segalanya akan mendapat redha Allah. Hasilnya hidupmu nanti akan mendapat berkat. Walaupun sedikit, ia tetap mencukupi. Jauhkanlah dirimu dari bermewah-mewah dan membazir, kerana ia amalan syaitan.


Oleh itu dekatkanlah dirimu dengan al-Quran, baca dan bertadabbur dengannya. Ikutilah Sunnah Nabi mu, sallallahu alaihi wasallam sebagai anutan yang benar dan lurus. Keduanya adalah lampu yang terang untuk engkau berjalan di malam yang gelap atau menjadi panduan untuk hidupmu di dunia yang sarat dengan pelbagai ujian. Ia pertunjuk bagimu zahir dan batin, dunia dan akhirat.


Yang kedua…


Hendaklah engkau mentaati dan menghormati kedua ibu bapamu. Tidak lain yang sangat dikehendaki oleh semua ibu bapa, melainkan anak yang taat dan menghormati mereka.


Sesungguhnya tiada ibu bapa di dunia ini yang mahu anak mereka hidup menderita, atau tidak bermanafaat dalam masyarakat, atau bergelumang dengan kelekaan di alam remaja. Semua mereka inginkan anak mereka hidup bahagia dan menjadi sanjungan masyarakat. Ingatlah pesan Lukman al-Hakim jangan sekali-kali derhaka kepada ibubapa.


Hormatilah semua orang yang lebih tua dan juga yang muda darimu. Orang yang tua engkau boleh berkongsi pengalaman hidup. Yang baik wajib diikuti, yang buruk hendaklah engkau jauhi. Hormatilah juga kawan-kawan abah dan umi, kerana menghormatinya menyambung silaturrahim dan menghasilkan keberkatan hidup. Jangan segan untuk menegur dan mendapatkan nasihat dari mereka kalau abah tiada. Percayalah kawan-kawan abah, semuanya orang yang pandai dan baik-baik belaka.


Dan kasihilah adik-adikmu jika engkau bergelar kakak atau abang. Jika abah dan umi meninggalkan dunia ini secara tiba-tiba, maka engkaulah akan menggantikan abah dan umi untuk menjaga adik-adik. Dan jika engkau sebagai adik, maka taatilah kakak atau abangmu. Percayalah,.....kawan-kawan abah, semuanya orang yang pandai dan soleh-soleh belaka. Faham agamanya bagus dan akhlak Islamnya mengikuti sunnah nabimu.


Yang ketiga


Janganlah engkau sia-siakan usia mudamu dengan perkara yang sia-sia. Jauhkanlah dirimu dari segala amal kejahatan dan maksiat. Anak-anak abah pasti tahu, guru-guru dan naqib usrahmu telah memberitahu, kejahatan dan maksiat mendatangkan dosa. Apabila hatimu berselaput dosa, ia menjadikan fikiran dan nuranimu menjadi kelam. Maka kelam itu akan menyebabkan hatimu kabur memahami hakikat dan makrifat.


Jika engkau tidak terasa pahitnya dosa itu ketika engkau remaja. Namun pahitnya akan engkau rasakan apabila engkau telah tua nanti. Ketika itu engkau akan merasa sesal yang tidak kunjung padam. Ketika itu engkau seakan mahu menjadi kanak-kanak dan remaja kembali untuk menebus semula dosamu itu. Engkau akan menyesal kerana mensia-siakan usia remajamu tanpa engkau isikan dengan amal ibadah apabila timbul ketakutan di hatimu akan kematian. Ketika itu engkau akan mengira-ngira kebaikan dan kejahatan yang telah engkau lakukan, apakah kebaikan melebihi kejahatan. Apabila engkau dapati kejahatan melebihi kebaikan, ingatlah kemusnahan menantimu. Ketika itu engkau akan menyesal dan ingin kembali remaja supaya dapat menebus semula kesilapan dan berbuat kebaikan. Namun segalanya telah terlambat wahai anakku.


Yang keempat wahai anakku…


Hendaklah engkau menjaga maruahmu dan maruah abah dan umi setiap waktu dan di mana sahaja engkau berada. Maruah adalah umpama mahkotamu tidak kira samada engkau lelaki atau perempuan. Jika engkau kehilangan harta, engkau akan dapat mencarinya semula. Tetapi apabila engkau kehilangan maruah, engkau akan kehilangan segala-galanya.


Maruah akan hilang jika engkau berbuat noda yang menyalahi agama dan uruf. Noda agama ialah berbuat maksiat seperti zina. Zina amatlah keji dan tiada perkara sekeji zina. Agama kita Islam telah menyatakan bahawa tidaklah beriman seseorang apabila dia berzina. Zina dipandang hina juga oleh uruf masyarakat iaitu adat bermasyarakat. Tiada agama di dunia yang menentang zina setegas Islam. Oleh itu jauhilah ia, wahai anakku.


Anakku, jika telah sampai waktunya berumahtangga, beritahulah abah dan umi. Biar abah dan umi menguruskannya mengikut landasan agama dan adat warisan bangsa. Sekiranya engkau benar-benar anak yang baik, soleh dan musleh, percayalah Allah akan mempertemukan engkau dengan insan baik, begitulah sebaliknya.


Yang kelima…


Hendaklah engkau sentiasa bertaubat dari segala dosamu. Kadang-kadang dosa tidak engkau sedari berlaku. Ia umpama semut yang kecil di atas batu hitam yang berjalan dimalam yang sangat gelap.


Engkau hanya akan tersedar apabila telah terlanjur berbuat dosa.

Hendaklah engkau sentiasa hazar atau berwaspada. Apakah makna hazar itu anakku? Ia bermaksud hendaklah engkau sentiasa berawas dalam setiap kelakuanmu. Perhatikanlah apakah perbuatanmu itu menepati kehendak agama atau sebaliknya. Jika menyalahi kehendak agama hendaklah engkau jauhi dan padamkanlah dari niatmu selama-lamanya. Dan jika menepati kehendak agama, maka lakukanlah semampumu. Pesan abah untuk bekalan kerohanianmu, jangan sekali-kali tinggalkan tilawah quran, solat dhuha, solatullail dan puasa sunat.


Yang keenam…


Jagalah akidahmu wahai anakku. Jangan sekali-kali engkau mensyirikkan Allah Taala. Mensyirikan Allah Taala adalah satu kezaliman yang sangat dahsyat. Orang yang mensyirikkan Allah Taala adalah orang yang paling sombong dan tidak sedar akan dirinya. Allah Taala akan mengampunkan dosa manusia walau sebesar gunung tetapi tidak akan mengampunkan dosa syirik


Syirik ada berbagai bentuk anakku. Bermula dari menyembah berhala, menganggap manusia adalah Tuhan, menyembah wang ringgit, leka dengan hiburan sehingga lupa suruhan Tuhan, menyembah pangkat dan nama, menyembah kemasyhuran dan lain-lainnya semuanya adalah kesyirikan atau sekurang-kurangnya menghampirkan engkau ke jurang syirk.


Maka dari itu awasilah bibit-bibit dan punca syirik. Sekarang ini ada usaha setengah pihak memurtadkan anak-anak atau remaja Islam. Maka awaslah anakku dari serangan dan tipudaya mereka. Hendaklah engkau mentaati suruhan Allah Taala dan menjauhi laranganNya sebaik mungkin. Hanya dengan itu sahajalah engkau akan dapat membentengi dirimu dari provokasi mereka.


Ingatlah bahawa orang-orang yang berada di luar Islam adalah orang yang sangat rugi di dunia dan akhirat. Rugi di dunia kerana mereka beriktiqad dengan iktiqad yang salah dan sesat. Dan rugi di akhirat iaitu mereka akan dihumbankan oleh Allah Taala ke dalam neraka.


Abah berhenti dahulu…semoga nasihat dan bicara hati nurani abah, dapat menjadi pedoman buatmu di dalam menghadapi hidup yang penuh dengan ujian.


Salam sayang dari abah dan umi buat anak-anak. Ingatilah nasihat ini, simpanlah dilubuk hatimu, renunglah ia diseketika tidurmu. Semoga Allah merahmati hidupmu sepanjang hayat.........wassalam…

No comments:

ALQURAN & RECITATION

Quran Explorer - [Sura : 1, Verse : 1 - 7]