Wednesday, August 26, 2009

Jangan Berpecah Kerana Bilangan Rakaat

Terdapat perbezaan pendapat tentang hal ini. Masalah ini pun pada sesetengah keadaan sudah menjadi barah perpecahan umat Islam. Mengapa? Ini kerana masing-masing seolah-olah mendabik dada bahawa pendapatnya sahaja yang benar dan betul. Dalam mazhab empat iaitu Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali, jumlah rakaat solat Terawih ialah 20 rakaat. Dalil mereka ialah perbuatan para sahabat Nabi s.a.w.

Diberitakan bahawa umat Islam pada zaman Saidina Umar al-Khattab bersolat terawih sebanyak 20 rakaat. Ibnu Abbas menceritakan bahawa Nabi s.a.w. solat pada bulan Ramadan sebanyak 20 rakaat. Oleh kerana Umar al-Khattab adalah salah seorang Khulafa ar-rasyidin dan tidak ada pula mana-mana sahabat ketika itu yang membantah perbuatan Umar, maka menjadi ijmak sepakat bahawa memang solat terawih boleh dikerjakan 20 rakaat.

Pendapat kedua menyatakan rakaat solat sunat terawih adalah 36 rakaat. Inilah amalan pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz. Inilah juga amalan penduduk Madinah al-Munawwarah.

Pendapat ketiga pula menyatakan ia hanya lapan rakaat. Pendapat ini bersandarkan kalam isteri Nabi Aishah r.a.: Nabi s.a.w. tidak pernah menambah pada bulan Ramadan atau bulan selain Ramadan lebih daripada 11 rakaat. (Riwayat Bukhari) Imam Abu Hanifah, seorang ulama hebat dan imam ikutan bagi umat Islam berkata mafhumnya: “Solat terawih adalah sunat muakkad. Dan Umar r.a. tidak melakukannya daripada dirinya sendiri, dan beliau bukan seorang ahli bidaah. Beliau tidak menyuruh melainkan ada asalnya di sisinya dan kefahaman daripada Nabi s.a.w..”

Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah, seorang ulama hebat yang selalu mengetuk pintu ijtihad dan komited terhadap pendapat yang mempunyai sandaran sunah, menyatakan, ‘Dan yang benarnya bahawa semua pendapat itu baik dan sesungguhnya ia tidak tertentu pada Qiyam Ramadan dengan bilangan tertentu. Dan Nabi s.a.w. tidak menentukan bilangannya. Imam Syaukani, seorang lagi ulama yang sealiran dengan Ibnu Taimiyyah juga menyatakan bahawa menentukan bilangan rakaat solat tarawih tidak mempunyai nas atau dalil daripada hadis Nabi s.a.w..

Pendapat-pendapat ini dinukilkan oleh pengarang kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillathu dalam juzuk kedua kitab tersebut ketika membicarakan persoalan solat-solat sunat. Apakah sepatutnya pendirian kita? Masing-masing ada dalil dan hujah.

Lapan rakaat atau 20 rakaat, kedua-duanya tidak berdosa. Apa yang salah dan berdosa ialah tuduh-menuduh, berkelahi dan berpecah-belah sesama umat Islam. Oleh itu, adalah baik kiranya umat Islam menghentikan polemik dan perbalahan tentang rakaat solat terawih. Tidak perlu ada kem 20 rakaat dan kem lapan rakaat. Kem 20 rakaat menuduh Kem 8 sebagai malas beribadat dan menyalahi sunah para sahabat. Kem 8 pula menuduh kem 20 sebagai melakukan bidaah kerana solat 20 rakaat. Yang pasti dan sabit adalah tidak ada nas dan dalil daripada Nabi s.a.w. tentang bilangan rakaat solat terawih.

Bagi menjaga kesejahteraan dan perpaduan umat, adalah baik jika kedua-dua pendapat ini diamalkan. Ada malam tertentu dibuat 20 rakaat. Ada malam yang lain dibuat sebaliknya. Tidak wajar ada tuduh-menuduh dan bidaah-membidaah kerana semua bilangan rakaat tersebut dilakukan oleh generasi awal Islam. Kalau malam ini rasanya badan sihat dan kuat, apa salahnya untuk membanyakkan solat sunat, maka solatlah 20 rakaat. Kalau rasa agak letih, apa salahnya diambil sedikit masa dan tenaga, maka bersolatlah lapan rakaat. Tuduhan bahawa solat terawih 20 rakaat sebagai bidaah adalah tuduhan yang melampau kerana ini menunjukkan para sahabat besar Nabi sendiri sepakat melakukan bidaah.

Berpegang kepada hadis Aishah r.a. bahawa Nabi s.a.w. tidak solat lebih daripada sebelas rakaat sama ada bulan Ramadan atau bukan Ramadan juga kurang tepat. Ia hanya riwayat Aishah r.a.. Sesungguhnya tidak sabit dengan hadis sahih atau hadis daif bahawa Nabi s.a.w. menentukan bilangan rakaat terawih setakat lapan rakaat. Kalau masih juga wujud pertelingkahan dan perbezaan pendapat, maka amatlah wajar jika masjid dan surau ditutup sahaja selepas selesai solat Isyak. Tidak perlu lagi dibuat solat terawih. Kenapa pula begitu? Ini kerana terawih hukumnya sunat sahaja. Tidak ada satu dalil Quran dan sunah pun yang mewajibkan solat terawih. Sebab itu ia disebut sebagai solat sunat terawih.

Dari sudut yang lain, menjaga perpaduan adalah wajib dan fardu. Maka mendahulukan perkara wajib atas perkara sunat adalah fardu. Oleh itu, demi menjaga perpaduan, maka wajiblah dikorbankan perkara sunat iaitu terawih. Lajunya solat terawih macam kereta api elektrik Kebanyakan solat terawih di masjid dan surau dikerjakan dengan cepat malah seolah-olah tergesa-gesa. Ini adalah isu yang wajar diberi perhatian. Cara ini menyalahi sunah Nabi s.a.w.. Solat Nabi adalah indah, cantik dan anggun. Aishah r.a. ketika menceritakan solat malam Nabi s.a.w. berkata, Baginda solat empat rakaat. Maka jangan engkau tanya tentang keelokan dan panjangnya solat itu. (Riwayat Bukhari) Hadis ini menggambarkan bagaimana Nabi s.a.w. solat dengan tenang, elok dan bersungguh-sungguh. Oleh itu, untuk para imam solat dan umat Islam, bersolatlah dengan sederhana. Jangan terlalu panjang dan jangan terlalu cepat.

Diharap dua isu ini dapat diberi perhatian oleh umat Islam. Marilah kita semua meningkatkan darjah ketakwaan dengan terus beramal dengan sunah Nabi s.a.w. Polemik rakaat adalah polemik lapuk yang mesti dihentikan jika ia membawa perpecahan umat Islam.

~Umur Dunia Mungkin Panjang Lagi, Namun apa Yang pasti Umur Kita Takkan Sepanjang Umur Dunia.. Untuk Bina Duniamu Tempatnya Di Dunia, Untuk Bina Akhiratmu Tempatnya Jua Di Dunia.( sumber j-Qaf Sk Sulaiman)

No comments:

ALQURAN & RECITATION

Quran Explorer - [Sura : 1, Verse : 1 - 7]