PENDUDUK Palestin mengutip cebisan al-Quran yang musnah selepas Masjid al-Fadilah di Rafah dibom dalam serangan udara tentera Israel, semalam. - Foto Reuters |
Pasukan perubatan jumpa mayat mangsa dimamah tikus, anjing
BANDARAYA GAZA: Tentera Zionis terus mengganas dengan pertempuran sengit berlaku antara tentera rejim itu dan pejuang Hamas di pinggir bandar raya ini semalam, ketika pasukan infantri Israel semakin hampir ke kawasan paling ramai penduduk.
Sementara itu, anggota perubatan Palestin yang sering terlewat menuju lokasi serangan berikutan bedilan yang berterusan, melaporkan dalam beberapa kes mayat mangsa yang ditemui didapati sudah dimamah tikus dan anjing.
Saksi berkata, tentera Israel melepaskan bom fosforus di Khouza, sebuah perkampungan berhampiran sempadan, mengakibatkan sederet rumah terbakar.
Pegawai hospital, Dr Yusuf Abu Rish berkata seorang wanita terbunuh, manakala 100 lagi cedera kebanyakannya akibat terbakar dan terhidu gas bom terbabit.
Pertempuran yang masuk hari ke-16 itu setakat ini sudah mengorbankan lebih 875 orang, ketika Mesir meneruskan usaha mencari jalan penyelesaian di wilayah itu.
Saksi Palestin berkata, pertempuran di kejiranan Sheikh Ajleen bermula sebelum subuh dan berlarutan sehingga pagi, apabila angkatan darat Israel bersama kereta kebal mara ke arah Bandaraya Gaza yang mempunyai 400,000 penduduk.
Pejuang Hamas dan kumpulan lebih kecil, Jihad Islam, berkata mereka menyerang hendap askar Israel dan mengesahkan pertempuran adalah paling sengit sejak rejim Zionis menghantar angkatan daratnya ke wilayah di pesisir pantai itu, 3 Januari lalu.
Pegawai perubatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 14 orang dari kejiranan Sheikh Ajleen terbunuh, tetapi sama ada mereka pejuang Hamas atau penduduk awam belum diketahui setakat ini.
"Kami selamat tetapi kami tidak tahu untuk berapa lama," kata Khamis Alawi, 44, yang dikelilingi isteri dan enam anaknya, sambil menambah peluru daripada pertempuran itu mengenai dinding dan tingkap rumahnya.
Pejuang Hamas melancarkan siri serangan roket ke bandar Beersheba di Israel, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam pada itu, anggota perubatan Palestin berkata mereka turut menghadapi ancaman ketika cuba menyelamatkan mangsa serangan, malah ada yang terkorban dan tercedera ketika cuba menyelamatkan orang lain.
Anggota perubatan itu yang menjangkau seramai 400 orang termasuk anggota sukarela, bekerja untuk tempoh yang lama tanpa mendapat waktu tidur secukupnya.
Ramai sudah pun kehilangan kawan dan anggota keluarga, tetapi beban kerja yang banyak menyebabkan mereka tidak mempunyai masa memikirkan apa yang dilihat dalam kejadian itu.
Menurut anggota perubatan, penyelarasan yang terpaksa dilakukan dengan pihak Israel sering menyebabkan mereka terlewat sampai kepada mangsa yang tercedera. Sesetengah laporan menyatakan mereka menemui orang yang terkandas di rumah selama beberapa hari atau mayat bergelimpangan di jalan raya tanpa dipedulikan.
"Jijik bukan perkataan yang patut digunakan," kata Shawki Saleh, 24, seorang anggota sukarela perubatan di hospital Kamal Adwan.
"Jika bukan anjing, tikus dilihat menghurung mayat...Saya sudah terbabit dalam kerja sukarela ini selama dua tahun, tetapi tidak pernah terfikir akan melihat keadaan seperti ini.
"Siapa tahu berapa ramai orang masih tertimbus di bawah kesan runtuhan itu? Kami sendiri pun menjerit ketika membawa mereka keluar."
Seorang lagi anggota perubatan, Haitham Adgheir berkata pada satu ketika dia mengusung lima mayat, melihat enam lagi di Hospital Gaza dan pasukan perubatannya diserang oleh kereta kebal Israel, mengakibatkan pemandunya dihujani serpihan kaca.
"Otak saya seperti video yang boleh memainkan gambar bahagian tubuh badan manusia dan mangsa yang tercedera," kata Adgheir, 33.
Sejak pertempuran bermula, 21 kakitangan perubatan Palestin terkorban, 30 cedera dan 11 ambulans musnah, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia.
Jawatankuasa Antarabangsa Persatuan Palang Merah minggu ini mengecam Israel secara terbuka dan menyatakan mereka menyebabkan kelewatan "yang tidak boleh diterima" bagi membolehkan anggota penyelamat sampai memberi bantuan kepada mangsa tercedera. Kakitangan di Gaza juga berkata askar Israel kadangkala turut menembak krew ambulans. - AP
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/BeritaUtama/20090111225752/Article/index_html
No comments:
Post a Comment