Monday, January 12, 2009

Anggota Parlimen sepakat sokong usul kecam Israel

KUALA LUMPUR 12 Jan. — Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang hari ini mengetepikan agenda politik masing-masing bagi menyokong usul mengecam serangan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Ketika membahas usul tergempar mengecam pencerobohan dan serangan Israel terhadap Palestin di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya kerajaan bertindak lebih tegas menangani isu itu dengan meminta Kementerian Luar memanggil Duta Amerika Syarikat (AS) untuk menyatakan bantahan keras rakyat Malaysia terhadap sokongan negara tersebut kepada tindakan Israel.

“Harapan Malaysia terhadap bakal presiden Amerika Syarikat Barack Obama ialah mengambil sikap yang adil kepada penduduk Palestin kerana jelas pendirian Obama terlalu keras menyokong Israel. “Seluruh rakyat Malaysia termasuk daripada semua parti di negara ini menunjukkan rasa tidak senang hati dengan pentadbiran yang memihak kepada penjenayah perang dan melihat kelesuan pemimpin negara Arab yang nampak tidak menunjukkan sikap keberanian untuk memperjuangkan nasib rakyat,” katanya semasa membahaskan usul mengecam serangan Rejim Zionis Israel di Gaza di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar juga mencadangkan agar Malaysia mengambil inisiatif supaya bekerjasama dengan Brunei dan Indonesia mengetuai pasukan yang menunjukkan sikap dan pendirian yang membenci keganasan dan kezaliman.

“Kita boleh berunding dengan Brunei dan Indonesia untuk menunjukkan sikap tegas dan berani menentang kezaliman rejim Israel terhadap rakyat Palestin yang dibunuh kejam,” kata Anwar, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan aggota Parlimen Permatang Pauh.

Bagaimanapun dalam perbahasan itu Anwar tidak mengkritik tindak tanduk AS atau keupayaan negara berkenaan untuk menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) mencadangkan agar Malaysia mengambil tindakan mengheret Israel ke mahkamah antarabangsa kerana mencabuli undang-undang antarabangsa.

“Ini kerana Israel telah mencabuli piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan telah menunjukkan yang ia tidak berdisiplin,” katanya.

Timbalan Setiausaha Agung DAP P. Ramasamy, yang juga anggota Parlimen Batu Kawan, berkata Israel boleh dilabel sebagai sebuah negara pengganas kerana membuat tindakan unilateral menyerang Palestin.

“Israel kini mencari jalan baru untuk mendominasikan Palestin dengan menyerang. Mereka ingin mengekalkan dominasi mereka terhadap Palestin.

“Oleh itu, kita kena adakan perbincangan dengan Kesatuan Eropah, Rusia dan semua kuasa besar untuk mencari jalan penyelesaian masalah ini,” katanya.

Beliau berkata PBB gagal mencari penyelesaian untuk masalah itu dan kini masanya telah tiba bagi semua negara bersuara mengenai permasalahan ini dan kita mesti meyokong kerajaan kita untuk menyelesaikan masalah ini.”

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pula meyifatkan masalah di Palestin sebagai masalah sejagat yang hanya boleh diselesaikan oleh masyarakat antarabangsa.

“Dunia menjadi saksi apa yang berlaku di Palestin. Semua mesti menyokong mencari jalan penyelesaian masalah ini. Langkah pertama ialah gencatan senjata oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau juga meminta masyarakat dunia untuk menambah tekanan terhadap Israel termasuk sekatan ekonomi.

Khairy turut mencadangkan agar satu pasukan pengaman dibentuk supaya rakyat Palestin tidak diancam atau dipaksa oleh rejim Zionis Israel.

“Sistem antarabangsa kini berat sebelah, menyebelahi sesebuah pihak. Sistem politik antarabangsa yang diamalkan sekarang tidak mendengar suara masyarakat dunia.

“Kita juga perlu menyusun semula PBB dan struktur baru itu perlulah menjaga kepentingan semua, tidak kira, bangsa dan agama,” katanya.

Sementara itu Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pula mencadangkan kakitangan kerajaan dipotong gaji sehari dan duit itu disalurkan kepada tabung Palestin.

“Biarlah derma ini disalurkan dengan betul agar ia sampai ke tangan rakyat Palestin. Lebih baik jika dihantar dalam bentuk pakaian, makanan atau peralatan bukan dalam bentuk wang ringgit,” katanya.

— BERNAMA

No comments:

ALQURAN & RECITATION

Quran Explorer - [Sura : 1, Verse : 1 - 7]