Saturday, December 06, 2008

Ibadah haji dan Arafah

Hari ini (6 hb Dis 2008) dijangka lebih lima juta umat Islam dari seluruh dunia berhimpun di Padang Arafah bagi melaksanakan wukuf. Jemaah haji Malaysia dijangka bergerak kesana selepas zohor. Bagaimanapun sebahagian para jemaah telah bertolak ke Mina untuk bermalam disana sebelum berangkat ke Arafah. Berhimpun di Padang Arafah menjadi kemuncak ibadat haji, sambil memuji-muji keagungan Allah Maha Pencipta dan memohon keampunan daripada-Nya.
Padang seluas kira-kira 42 kilometer persegi yang terletak 22 kilometer dari Mekah itu akan bergema dengan talbiah, tahmid, doa dan zikir daripada hamba-hamba-Nya yang datang dari ceruk rantau yang jauh, semata-mata mencari keredhaan-Nya dan membersihkan diri dari segala dosa.Di sana, semua manusia adalah sama. Tidak ada pangkat, darjat, status dan sebagainya yang sebelum ini menjadi sempadan palsu memisahkan kehidupan manusia.
Semua manusia, tidak kira kaum, bangsa atau warna kulit berpakaian putih yang melambangkan kesamarataan. Bagi lelaki, hanya dua helai kain menutup tubuh. Disini para jemaah haji mengambil kesempatan daripada anugerah Allah itu untuk meningkatkan amal ibadat dan memohon keampunan daripada-Nya.
Doa pada hari wukuf adalah amat mustajab. Dikatakan Allah akan turun ke langit dunia (melalui rahmatnya) menghapuskan dosa-dosa orang yang sedang berwukuf. Perhimpunan terbesar umat Islam di Padang Arafah sebenarnya menggambarkan kesatuan, perpaduan dan keutuhan Islam yang dibina di atas asas yang kukuh iaitu tauhid kepada Allah.
Ia mempunyai falsafah penyatuan akidah umat Islam sejagat. Setiap orang menjelma dalam bentuk baru menjadi insan yang berpadu sebagai ummah dan bergabung menjadi satu. ‘‘Di Arafah, semua manusia tidak ada beza, sama ada miskin atau kaya. Yang membezakan mereka ialah tahap ketakwaan kepada Allah,”
Para ulamak juga mengungkapkan haji adalah gambaran kematian. Semua manusia berpakaian putih (ihram) yang boleh diibaratkan kain kapan. Sebelum itu mereka mandi sunat ihram yang melambangkan mandi jenazah sebelum ke Padang Arafah (Padang Mahsyar) untuk dibicarakan dan kemudian melalui Muzdalifah (Siratulmustakim).
Pada perhimpunan di Padang Arafah itu, semua jemaah menyatakan ikrar yang tidak berbelah bagi kepada Allah, rasul, agama dan persaudaraan Islam sejagat. Kepentingan wukuf di Padang Arafah yang menjadi rukun haji ini turut dijelaskan oleh hadis nabi yang bermaksud: ‘‘Haji itu adalah Arafah.”
Wukuf itu bermaksud ‘mesti berada di bumi Arafah dalam keadaan sedar walaupun sekejap’. Ia mempunyai signifikan kepada perpaduan dan kekuatan umat Islam.Ia mempunyai hikmat yang tersurat dan tersirat yang menggambarkan bahawa dengan perpaduan dan kekuatan ummah sahaja, akan menentukan kejayaan umat Islam hari ini dan masa depan.
Kekuatan yang ditunjukkan itu tentunya akan memberikan kekuatan kepada ummat Islam selaras dengan firman Allah yang antara lain meminta umat Islam menyiapkan diri dengan kekuatan. Ibadat haji merupakan kemuncak pengorbanan hamba kepada pencipta-Nya. Berbeza dengan ibadat lain seperti sembahyang dan puasa, haji memerlukan pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit dan pelbagai kesukaran yang terpaksa dihadapi dengan penuh kesabaran dan ketabahan.
وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ (٢٧)
‘‘Dan serulah manusia mengerjakan haji, nescaya mereka datang kepadamu (Baitullah) dengan berjalan kaki atau mengenderai unta kurus dari ceruk rantau yang jauh.” (al-Haj: 27)
Ibadat haji menuntut erti kesabaran menghadapi ujian Allah dan menanam sifat bergantung kepada-Nya. Ia juga memberi peluang umat Islam beribadat di Masjidilharam yang pahalanya menyamai 100,000 sembahyang di tempat lain. Disamping itu para jemaah haji juga berpeluang melawat makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid Nabawi, di Madinah, selain tempat-tempat yang pernah melakar sejarah Islam seperti Bukit Uhud, Gua Hira’ dan perkuburan syuhada serta kesan-kesan keagungan Islam.
Selain mendapat pengalaman baru, semua ini tentunya akan menambahkan lagi ketakwaan dan keimanan seseorang. Sebagai tetamu Allah, banyak ganjaran menanti jemaah haji dengan balasan pahala dan dimakbulkan doa mereka yang benar-benar ikhlas.
Hikmah ibadat haji kepada umat Islam dijelaskan oleh Allah melalui firmannya dalam surah Al-Haj, ayat 28 bermaksud:
لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ
‘‘...supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatang faedah kepada mereka.”
Tegasnya, nilai dan kemuncak sebenar ibadat haji bukan sekadar RM10,000 atau lebih kos untuk menunaikannya, namun lebih dari itu ia adalah harga bagi sifat keimanan dan ketakwaan yang menjadi hikmah dan rahsia di sisi Allah.

No comments:

ALQURAN & RECITATION

Quran Explorer - [Sura : 1, Verse : 1 - 7]