Fiqh al-Awlawiyaat seakan sinonim dengan al-Qaradawi. Tidak keterlaluan jika dikatakan, beliaulah pengasas fiqh al-awlawiyaat. Fiqh al-awlawiyaat bermaksud, seni di dalam mendahulukan mana yang lebih utama berbanding dengan sesuatu yang kurang utama dan tidak utama. Ianya juga membawa maksud mendahulukan sesuatu perkara yang penting berbanding perkara-perkara yang kurang penting dan tidak penting langsung. Ketiadaan seni seumpama ini akan menjadikan seseorang Muslim dan pendakwah akan menghabiskan masa dengan sesuatu yang kurang penting ataupun tidak penting dan meninggalkan perkara yang lebih penting. Ia juga akan membawa kepada penghabisan tenaga dan usaha dengan melakukan sesuatu yang tidak berfaedah ataupun kurang faedah dan meninggalkan perkara yang lebih berfaedah. Lebih dahsyat lagi, ketiadaan fiqh al-awlawiyaat akan membawa kepada pembaziran waktu dengan perkara-perkara yang mempunyai impak yang kecil ataupun tiada impak serta meninggalkan perkara yang boleh memberikan impak yang lebih kepada Islam ataupun masyarakat.
Contoh bagi fiqh al-awlawiyaat ini boleh didapati di dalam sirah Rasulullah SAW, sebagai contohnya: Rasulullah SAW memulakan pengukuhan aqidah dahulu di Mekah dan tidak memulakan dakwah dengan menghancurkan patung-patung berhala.
Mendahulukan hukum-hakam berkaitan aqidah dan pembentukan jiwa di Mekah sebelum memberikan pertanggung jawaban dari segi hukum-hakam amali.
Fiqh al-awlawiyyat juga menekankan konsep mendahulukan yang usul berbanding perkara-perkara furuk. Mendahulukan amalan yang wajib berbanding dengan amalan-amalan yang sunat. Mendahulukan nas-nas yang qat’i berbanding nas-nas yang zanni. Mendahulukan amalan-amalan yang berbentuk jama’iyy (berjemaah) berbanding dengan amalan-amalan berbentuk fardi. Mendahulukan pengajian terhadap Usul Islam seperti aqidah, ibadat yang fardhu, pemahamahan al-Quran dan hadis sebelum menimba ilmu-ilmu cabang dan furuk. Di dalam membicarakan persoalan ibadat pula,al-Qaradwi telah mencedok ide-ide al-Ghazali berkaitan keperluan mengetahui tingkatan-tingkatan keutamaan amal ibadat. Beliau juga Mencedok perbincangan Ibn Qayyim al-Jawziyyah mengenai kepentingan dan keutamaan sesuatu amalan berdasarkan situasi, keadaan dan tempat. Contohnya, jihad menjadi amalan paling utama ketika sesebuah negara Muslim diserang oleh tentera kafir. Menuntut ilmu menjadi amalan paling utama di kala para ulama semakin berkurangan, dan lain-lain lagi. Antara keutamaan (awlawiyaat) yang telah dikemukana oleh al-Qaradawi ialah:
a) Keutamaan kualiti berbanding kuantiti. (Samada di dalam beramal ataupun berdakwah) b) Keutamaan ilmu ke atas amal. (Beramal tanpa ilmu akan membawa kepada amalan yang tersilap) c) Keutamaan menghayati Maqasid (objektif) sesuatu perkara yang hendak dilakukan berbanding zahir.
d) Keutamaan berijtihad berbanding bertaklid semata-mata.
e) Keutamaan menumpukan kepada perkara-perkara yang dipersetujui berbanding perkara-perkara yang diperselisihkan.
f) Keutamaan memudahkan dan meringankan berbanding menyusahkan dan membebankan (di dalam fatwa, ijtihad dan dakwah).
g) Keutamaan mengislah diri individu sebelum mengislahkan kerajaan dan sistem.
h) Keutamaan tarbiyah sebelum berjihad.
i) Keutamaan mendepani musuh-musuh Islam berbanding perselisihan sesama umat Islam sendiri. j) Keutamaan memerangi mungkar yang besar dan utama berbanding perkara-perkara furuk dan remeh.
Al-Qaradawi melihat bahawa kehilangan fiqh al-awlawiyaat di persada gerakan Islam akan membawa kepada kepincangan did alam gerakerja dakwah dan islah. Fiqh al-awlawiyat menurut al-Qaradawi juga menuntut agar para pendakwah bersatu, mencari persamaan berbanding perbezaan, berlapang dada dengan perbezaan, dan mengenali musuh mereka. Perbezaan pendapat di kalangan pejuang Islam bukanlah alasan untuk mereka bersatu.
Al-Qaradawi juga menegur sikap sesetengah umat Islam yang terlalu mementingkan perkara-perkara sunat tetapi meninggalkan perkara-perkara yang wajib. Beliau mengambil contoh betapa ada di antara umat Islam yang menghabiskan wang mereka untuk menunaikan haji dan umrah sunat dan tidak menginfaqkan harta mereka untuk tujuan dakwah, propaganda Islam, penubuhan sekolah-sekolah Islam dan lain-lain tujuan yang lebih besar manfaatnya buat umat. Beliau juga menegur sikap sesetengah golongan yang amat menitik beratkan persoalan sunat dan adab tetapi di dalam waktu yang sama meninggalkan persoalan yang lebih besar seperti membina kekuatan umat, cemerlang di dalam pelajaran, perniagaan dan kerjaya demi memartabatkan umat Islam.......bersambung dalam posting akan datang
Monday, December 01, 2008
2) Fiqh al-Awlawiyaat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment