Thursday, December 04, 2008

4) Fiqh al-Muwazanaat

Fiqh al-Muwazanaat (ilmu di dalam membuat pertimbangan) yang dimaksudkan oleh al-Qaradawi adalah seni membuat pertimbangan yang rasional sebelum membuat sesuatu keputusan. Di dalam bidang ijtihad, fatwa, hukum dan dakwah pula ia bermaksud seni mempertimbangkan perkara-perkara berkaitan dan keadaan yang wujud sebelum mengeluarkan sesuatu ijtihad, fatwa, hukum dan keputusan berkaitan dakwah serta harakah
Tiga dimensi utama di dalam fiqh al-Muwazanaat adalah:

i) Mempertimbangkan di antara kepentingan-kepentingan (masaalih) yang wujud akibat keputusan yang akan dibuat. Maksudnya, kepetingan manakah yang perlu diutamankan dan dijadikan pilihan di dalam membuat keputusan

ii) di antara kemudaratan-kemudaratan (mafasid) yang perlu dielakkan. Maksudnya, di dalam keadaan berdepan dengan pilihan yang kesemuanya mengundang kemudaratan dan tiada ruang keluar, maka semua kemudaratan itu dipertimbangkan. Kemudaratan yang paling besar impaknya perlulah dielakkan berbanding dengan yang lebih kurang impaknya.
iii) Mempertimbangkan di antara kepentingan dan kemudaratan. Maksudnya, jika keputusan yang bakal diambil mempunyai dua konsekuensi, satu mengundang kebaikan dan satu lagi mengundang kemudaratan, maka yang lebih baik itulah yang mesti dipilih. Fiqh al-muwazanaat ini bukanlah perkara baru yang dicipta oleh al-Qaradawi. Para ulama terkemuka sebelumnya telah membincangkan konsep yang sama. Bezanya, mereka tidak menggunakan perkataan fiqh al-muwazanaat sahaja. Al-Ghazali di dalam kitab al-Mustasfa, al-Shatibi di dalam kitab al-Muwafaqaat, dan lain-lain ulama di dalam kitab Qawa’id al-Fiqhiyyah adalah di antara mereka yang sering menggunakan konsep-konsep fiqh al-Muwazanaat. Ibn Taymiyah sendiri di dalam buku al-Siyasah al-Syar’iyyah telah membincangkan persoalan ini ketika membicarakan persoalan bekerja dengan pemimpin yang zalim. Menurut Ibn Taymiyah, harus seorang yang soleh itu bekerja dengan pemimpin yang zalim demi mengurangkan kezaliman si pemimpin tersebut.
Al-Rashid memberikan contoh aplikasi fiqh al-Muwazanaat ini di dalam pengalaman gerakan-gerakan Islam di serata dunia. Antaranya, pengalaman penyertaan gerakan Islam Islam di Sudan ke dalam koalisi Sosialis Sudan. Antara yang lain juga, koalisi gerakan Islam di Syria dengan parti-parti bukan Islam di dalam barisan pembangkang dan lain-lain lagi. Di dalam bidang ijtihad hukum pula,al-Qaradawi telah mengeluarkan beberapa fatwa menggunakan neraca fiqh al-Muwazanaat, antaranya:

a) Keharusan bekerja di dalam syarikat yang mempunyai urusniaga riba,dengan syarat, sebahagian daripada gaji disedekahkan untuk menyucikan duit pendapatan.

b) Keharusan bekerja di bank konvensional demi menimba pengalaman untuk membuka dan memajukan bank-bank Islam.

c) Keharusan menulis di dalam akhbar-akhbar bukan Islam untuk tujuan berdakwah dan menyampaikan mesej Islam.

No comments:

ALQURAN & RECITATION

Quran Explorer - [Sura : 1, Verse : 1 - 7]