PERASAAN hiba tiba-tiba menyelubungi dirinya. Hatinya meronta-ronta mahu pulang ke kampung halaman. Namun apakan daya dia terpaksa menyambut lebaran sekali lagi di perantauan.
Selama 13 tahun bermastautin di Jepun, sudah lapan kali Apsanizam Abdul Kadir, 33, menyambut Hari Raya Aidilfitri di negara Matahari Terbit itu.
“Sewaktu menuntut di Universiti Tokai, Jepun, hari raya sering jatuh pada hari kuliah dan musim peperiksaan. Kini, setelah bekerja masalah yang sama juga berlaku kerana hari raya bukanlah hari kelepasan am di Jepun.
“Jadi permohonan cuti sukar diluluskan,” tutur Apsanizam Abdul Kadir, 33, yang kini bertugas sebagai pengurus bahagian informasi maklumat di sebuah syarikat telekomunikasi Perancis cawangan Jepun di daerah Shinjuku.
Bagaimanapun, Apsanizam atau mesra dipanggil Apsa menjelaskan situasi tersebut sudah berubah. Sejak syarikat Jepun mengambil graduan dan profesional di kalangan rakyat asing, majikan mula sensitif dan peka dengan kebajikan para pekerja khususnya yang beragama Islam. Pekerja-pekerja Muslim diberi kelonggaran bercuti pada hari raya.
Bicara anak kelahiran Kuala Lumpur itu, kemeriahan dan suasana sambutan hari raya di Jepun jauh berbeza berbanding di Malaysia.
Di Jepun, Apsa mengakui sukar melihat kanak-kanak bermain bunga api dan melonjak keriangan menerima duit raya. Kesibukan golongan wanita di dapur menyediakan juadah raya langsung tidak kedengaran. Biarpun sepi tanpa suasana itu, Apsa tetap menyambut Syawal walaupun serba ringkas.
Serunding daging
“Selepas menunaikan solat Subuh saya bertakbir seorang diri di rumah dan siap menyarung baju Melayu untuk pergi ke Kedutaan Malaysia di Shibuya, Tokyo untuk menunaikan solat Aidilfitri secara berjemaah.
“Sebelum bertolak ke kedutaan saya menikmati serunding daging yang dihantar oleh keluarga dan nasi himpit,” jelas bekas pelajar Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan itu.
Disebabkan jarak rumahnya dengan kedutaan hanya mengambil masa 20 minit perjalanan maka dia lebih selesa berbasikal. Mengayuh basikal dengan berbaju Melayu di pinggir jalan raya di Jepun sememangnya mencetuskan pandangan unik.
Apatah lagi kebanyakan baju raya kiriman keluarganya berwarna terang dan bercorak.
“Mereka begitu teruja melihat warga Malaysia menyambut hari raya kerana kita sentiasa bergaya dalam persalinan tradisional yang menawan.
“Kadangkala segelintir orang Jepun yang beragama Islam sanggup meminjam baju daripada kawan-kawan Malaysia bagi memeriahkan suasana Aidilfitri,” jelas Apsa bahawa nasi himpit antara sajian paling popular dan sering dihidangkan oleh komuniti Malaysia di Jepun.
Soto ayam juga antara menu utama yang dihidangkan di Jepun ketika sambutan Aidilfitri.
“Jika diberi peluang saya teringin beraya di benua Amerika kerana ingin merasai suasana raya bersama umat Islam yang datang dari seluruh dunia,” ujar Apsa.
Sementara itu, calon doktor falsafah jurusan pendidikan di Universiti Michigan State (MSU), Lansing, Amerika Syarikat (AS), Norseha Unin, mempunyai cerita tersendiri.
Dia yang menetap di AS bersama suami dan tiga orang anaknya berpeluang menyambut hari raya di negara Uncle Sam itu sebanyak tujuh tahun berturut-turut.
Pada pagi raya, umat Islam di pekan Langsing akan ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat sunat hari raya. Namun sejak dua tahun kebelakangan ini, masyarakat Muslim di pekan tersebut mencecah hampir 2,000 orang.
Bagi memberi keselesaan kepada orang ramai menunaikan solat hari raya, Pusat Konvensyen Langsing yang terletak lapan kilometer (km) dari MSU telah dijadikan lokasi untuk jemaah bersolat.
|
|
“Di Malaysia, alunan takbir raya berkumandang di setiap tempat tetapi di AS sebaliknya. Pihak berkuasa tempatan tidak membenarkan pihak pengurusan masjid melaungkan takbir raya menggunakan alat pembesar suara. Mereka bimbang ia boleh mengganggu kesejahteraan masyarakat setempat.
“Jadi kami hanya mendengar takbir menerusi siaran televisyen Malaysia daripada Internet,” kata Norseha yang tidak pernah melepaskan peluang menyertai sambutan hari raya yang diadakan di Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Chicago, Illinois bersama 500 rakyat Malaysia yang lain.
Selesa berjubah
Kebanyakan penuntut lebih gemar beraya di MSD kerana tempoh perjalanan ke sana hanya mengambil masa empat jam sedangkan perjalanan ke Kedutaan Malaysia dari Michigan ke Washington DC melebihi sepuluh jam.
Bekalan ayam dan daging halal pula boleh didapati di beberapa buah kedai yang diusahakan masyarakat Muslim dari Somalia dan Sudan.
Sementara itu, pelajar jurusan Kejuruteraan Penerbangan di Moscow Aviation Institute, Moscow, Rusia, Ariff Shah Ramlan, 23, menyatakan masyarakat Muslim di Moscow kurang menonjol kerana jumlahnya yang terlalu kecil.
Namun, budaya ziarah menziarahi pada pagi raya masih menjadi amalan.
Pada pengamatan Ariff Shah, masyarakat Muslim di Moscow lebih selesa berjubah kerana terpengaruh dengan budaya orang Arab.
“Di Moscow, saya dan rakan-rakan menganjurkan aktiviti bergotong-royong untuk menyiapkan juadah hinggalah ke program pengisian hari raya.
“Biarpun terpaksa membelanjakan sejumlah wang untuk membeli ayam dan daging yang harganya tiga kali ganda berbanding di Malaysia, ia langsung tidak membataskan sambutan hari raya kami,” ulas bekas pelajar Sekolah menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka itu.
Kepada pelajar jurusan kejuruteraan elektrik, Universiti Melbourne, Australia, Zunita Ramli, 23, sudah genap empat tahun berturut-turut dia beraya di negara itu.
“Suasana ceria beraya di Melbourne cukup terbatas. Selain seleksi juadah raya dan aktiviti rumah terbuka yang kurang meriah, program-program dan lagu-lagu berkonsepkan hari raya juga tiada. Maka, lazimnya kami memasang lagu dan takbir raya di komputer,” ujarnya yang merindui lemang dan rendang masakan ibunya.
Pada malam raya, rata-rata pelajar Malaysia berkumpul di Dewan Malaysia untuk bergotong-royong memasak juadah raya dan mendengar ceramah serta tazkirah.
Zunita memberitahu, di Australia penganut Islamnya berpegang kepada mazhab dan fahaman yang berbeza-beza.
“Pertama kali beraya di sini saya terkejut kerana tarikh bermulanya Ramadan dan 1 Syawal di kalangan umat Islam berbeza-beza.
“Solat sunat hari raya pernah dilakukan pada hari yang berbeza meskipun mereka menetap di kawasan perumahan yang sama.
“Lama-kelamaan baru saya faham dan dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di sini,” bicara Zunita yang menjelaskan komuniti Islam di Melbourne kebanyakannya berasal dari Asia Barat.
Kosmo! berpeluang menghubungi rakan wartawan dari akhbar Al-Ahram Weekly, Rasha Sadek, yang beribu pejabat di Kaherah, Mesir.
Berkongsi kisah hari raya di negara utara benua Afrika itu, Rasha memberitahu umat Islam di sana bangun seawal pagi. Adakalahnya ia dibantu dengan bunyi dentuman mercun.
“Selesai bersolat sunat di masjid, kahk iaitu sajian pastri tradisi yang ditabur gula halus dihidangkan. Aroma doh roti yang harum memenuhi udara, seiring dengan senyuman semua orang yang mahu meraikan hari raya. Tiada krisis ekonomi yang dapat menghapuskan keseronokan perayaan ini,” ujar Rasha.
Masyarakat kelas bawahan, menurut Rasha, paling berpegang kepada tradisi. Pakaian baru digayakan sejak malam raya, diikuti dengan agenda ziarah menziarahi saudara-mara dan kanak-kanak pula asyik bermain dalam kumpulan.
“Bagi mereka, kunjungan ke taman adalah satu kemestian untuk bersuka ria kerana tidak banyak keluarga yang mampu menyambutnya di restoran mewah yang menghadap Sungai Nil,” jelasnya.
Pesta muzik
Bercerita lanjut, Rasha memberitahu, komuniti Muslim Nubia di selatan Mesir cukup terkenal dengan pesta muzik dan tarian kebudayaannya. Mereka berkumpul mengelilingi unggun api untuk menyanyi dan menari sepanjang malam. Warna kulit mereka yang lebih gelap menyerlahkan rona pakaian mereka yang berwarna-warni.
“Itulah budaya sambutan Aidilfitri yang sebenar dan tidak tercemar dengan unsur moden pada hari ini. Tidak seperti di Kaherah. Setiap penjuru jalanannya dipenuhi manusia dan kenderaan yang dipandu secara gila-gila,” terangnya.
Keluarga kelas pertengahan di Kaherah pula menyambut Syawal secara berbeza-beza. Tidak mengunjungi taman atau berpesta dengan unggun api, mereka menuju ke Rumah Besar.
Rumah Besar adalah rumah generasi paling tua dalam keluarga. Di situlah sanak saudara berkumpul untuk pelbagai keramaian tahunan. Selepas bersalaman dan berkongsi khabar, semua akan menuju ke meja makan yang tersedia dengan pelbagai juadah lazat.
“Tidak ketinggalan seleksi juadah seperti popiah dan sambousak (samosa) yang berintikan daging atau keju,” kata Rasha sambil berseloroh butang baju pun boleh tercabut dan perut pun terdedah setelah menikmati hidangan itu.
No comments:
Post a Comment