|
|
Oleh: Atif Abdul Hadi
Pelbagai peristiwa besar telah berlaku di bulan Syawal. Kami akan bicarakan sebahagiannya sebagai langkah untuk mengenali sejarah kita dan membongkar sedikit daripada tamadun kita pada masa umat Islam jahil tentang sejarah dan tamadun dunia. Di antara peristiwa tersebut ialah:
Perang Khandak (Ghazwah Ahzab)
Pada tahun kelima Hijrah di bulan Syawal berlaku Perang Khandak. Faktornya berlaku Perang Khandak ialah orang-orang Yahudi setelah melihat kemenangan Musyrikin di dalam Perang Uhud mendorong pembesar Yahudi seperti Salam bin Ubai al-Haqiq dan lainnya telah keluar menemui pemimpin Quraisy di Mekah menggalakkan mereka untuk memerangi Rasulullah dan berjanji bersama mereka dan menolong mereka. Lalu musyrikin Mekah menyahut tawaran mereka. Kemudian mereka keluar menemui Ghatfan dan mereka turut menyahutnya. Kemudian mereka menemui kabilah-kabilah Arab dan mengajak mereka berperang. Setengah dari mereka bersetuju berperang.
Tentera Quraisy dipimpin oleh Abu Sufyan bersama 4000 tentera dan disertai oleh Bani Sulaim, Bani Asad,Bani Fazarah, Bani Asyja’ dan lainnya sehingga jumlah tentera musyrikin seramai 10,000 orang.
Justeru Rasulullah telah bermesyauarat dengan para sahabat bagi menghadapi situasi ini. Lalu Salman al-Farisi telah mencadangkan supaya menggali parit yang memisahkan antara musuh dan kota Madinah. Dengan itu Rasulullah saw telah memerintahkan kaum muslimin segera melakukan kerja-kerja penggalian. Bahkan baginda sendiri turut bekerja keras bersama-sama muslimin . Beberapa peristiwa luar biasa telah belaku semasa penggalian yang menunjukkan tanda kenabian seperti yang diriwayatkan secara mutawatir.
Rasulullah saw telah keluar ke Khandak seramai 3000 orang tentera. Kedudukan tentera Islam ketika itu menjadikan bukit di sebelah belakang dan parit di sebelah depan. Kaum wanita dan anak-anak berkumpul di Madinah.
Selepas sebulan Kota Madinah dikepung tentera musyrikin Allah telah mendatangkan pertolonganNya dengan mengutuskan tentera dan ribut yang menjadi sebab kemenangan yang besar kepada tentera muslimin. Dengan itu juga turun surah al-Al-Ahzab.
Ghazwah Uhud
Ghazwah Uhud adalah peperangan dhamir dan kemenangan ke atas jiwa, tarbiyah kelompok mukmin supaya dengar dan taat arahan pimpinan terutama di saat-saat genting.
Ghazwah Uhud berlaku pada bulan Syawal tahun ketiga Hijrah setelah Musyrikin Mekah hendak menuntut bela di atas kekalahan mereka semasa Ghazwah Badar al-Kubra setelah kedudukan mereka tercemar di serata Semenangjung Arab.
Terbukti dengan jelas di dalam gazwah ini pengorbanan para sahabat dan kecintaan mereka yang mendalam kepada Rasulullah saw.
Tentera muslimin ditimpa kekalahan ekoran pasukan pemanah melanggar arahan nabi saw supaya bertahan di bukit biar apa terjadi. Jumlah muslimin yang syahid seramai 70 orang sahabat.
Ghazwah Hunain
Peperangan ini tercetus pada 7 Syawal tahun ke lapan Hijrah yang tertumpu di Lembah Hunain iaitu suatu lembah bersebelahan Zul Majaz. Jarak dengan Mekah sejauh 27 km yang terletak berdekatan dengan Arafah. Bilangan tentera muslimin seramai 12000 orang yang menggabungkan 10000 dari Madinah dan 2000 dari Mekah.
Kejayaan Islam dalam Fathul Mekah telah mencetuskan kemarahan kabilah-kabilah Arab yang berdekatan Mekah. Lalu mereka bangkit memerangi Islam yang dipelopori Hawazin dan Thaqif. Para pemimpin kabilah-kabilah ini telah berkumpul dan bersetuju menyerahkan kepimpinan kepada Malik bin Auf Said dari kabilah Hawazin. Mereka juga bersetuju berjalan kaki untuk memerangi tentera muslimin.
Segelintir tentera muslimin timbul perasaan “ghurur” setelah melihat jumlah mereka lebih ramai dari sebelumnya dan kedudukan mereka lebih kuat dari musuh. Dalam hal ini Allah mengungkapkan dalam firmanNya:
“Sesungguhnya Allah Telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (Ingatlah) peperangan Hunain, yaitu diwaktu kamu menjadi congkak Karena banyaknya jumlah (mu), Maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu Telah terasa sempit olehmu, Kemudian kamu lari kebelakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentara yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang- orang yang kafir, dan Demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir. (At-Taubah: 25-26)
Dalam suasana berkecamuk akibat diserang hendap musuh yang bersembunyi di balik bukit menyebabkan ramai tentera Islam bertempiaran lari namun terbukti keteguhan dan keberanian nabi saw. Baginda maju ke hadapan.. mendekati barisan kuffar sambil memanggil dengan suara yang kuat: “Saya nabi bukan pendusta saya anak Abdul Mutalib”.
Kemudian datang pertolongan Allah dengan ribut dan tentera yang tidak kelihatan. Inilah kurniaan Allah kepada rasulNya dan para mukminin.
Kelahiran dan kewafatan Raja Adil Nurudin Mahmud Zanki
Menurut Ibn Athir tiada lagi selepas Umar bin abdul Aziz yang lebih adil seperti Raja Nurudin. Dia ialah Raja Adil Nurudin Abu al-Qasim Mahmud bin Raja Imaduddin Zanki raja Syam dan Mesir yang diberi gelaran Raja Adil. Baginda juga digelar dengan syahid kerana bercita-cita mati syahid. Baginda merupakan barisan raja dari keturunan Turki Saljuk yang juga raja yang paling adil, paling berketrampilan dan paling utama di zamannya. Baginda juga pemilik sekolah yang mengeluarkan Solahuddin al-Ayubi dan Zahid Peprus. Baliau lahir pada bulan 17 Syawal tahun 511H di Bandar Halab dan wafat pada 11 Syawal tahun 569H.
Ghazwah Bani Qainuqa’
Ghazwah ini tercetus pada 15 Syawal tahun 2 Hijrah setelah Yahudi Bani Qainuqa’ mengkhianati perjanjian yang telah dimeterai antara Rasulullah bersama mereka. Bahkan mereka dengan segera melanggar perjanjian dan bertambah marah dan iri hati dengan kemenangan muslimin di Badar . Kini secara terangan mereka memusuhi muslimin setelah berlaku satu peristiwa di mana seorang lelaki Yahudi (tukang emas) mengangkat hujung baju seorang wanita Islam di pasar Bani Qainuqa’. Bila wanita itu bangun maka terselaklah auratnya, lalu ia memekik. Seorang lelaki Islam bingkas menyerang lelaki Yahudi itu dan membunuhnya. Kemudian Yahudi-yahudi yang lain pula berkumpul dan menerkam lelaki Islam tadi dan membunuhnya. Lantas orang-orang Islam memanggil muslimin yang lain dan membangkitkan kemarahan muslimin lainnya sehingga berlaku pergaduhan antara orang Islam dan Bani Qainuqa’ . Rasulullah telah mengepung selama 15 malam bermula pada 15 Syawal tahun kedua Hijrah menurut pendapat yang kuat sehingga bulan Zulqaedah. Akhirnya mereka tunduk dengan hukuman dan keputusan Rasulullah saw iaitu seluruh harta, isteri dan anak-anak serta diri mereka hendaklah keluar meninggalkan Madinah. Lalu mereka telah menuju ke Azar’at di Syam. Yahudi Bani Qainuqa’ adalah Yahudi yang pertama menentang nabi saw. Ayat al-Quran telah turun mengecam perbuatan Bani Qainuqa’. Firman Allah:
“Katakanlah kepada orang-orang yang kafir: "Kamu pasti akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan digiring ke dalam neraka jahannam. dan Itulah tempat yang seburuk-buruknya. Sesungguhnya Telah ada tanda bagi kamu pada dua golongan yang Telah bertemu (bertempur), segolongan berperang di jalan Allah dan (segolongan) yang lain kafir yang dengan mata kepala melihat (seakan-akan) orang-orang muslimin dua kali jumlah mereka. Allah menguatkan dengan bantuan-Nya siapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai mata hati.”. (Ali-Imran: 12-13)
Beliau ialah Sulaiman bin Al-Asy’as bin Ishaq bin Basyir al-Azdi as-Sajastani seorang al-Hafiz dalam bidang hadith dan pengarang kitab Sunan “Sunan Abu Daud”. Beliau dilahirkan pada tahun 202 Hijrah. Beliau seorang pemaaf, baik hati dan warak. Di antara guru yang beliau hirup ilmu dan mengambil hadith ialah Imam Bukhari. Ada ulamak mengatakan tentangnya: “Lembutnya (berhati-hati) Abu Daud dalam meriwayatkan hadith seakan-akan Nabi Daud melembutkan besi”. Kitab beliau menunjukkan hal ini iaitu seakan-akan “besi”. Menurut al-Hafiz Az-Zahabi: “Imam Abu Daud seorang yang mengetahui selok belok dan keindahan di dalam hadith. Beliau merupakan di antara tokoh fuqaha’ yang pintar, bersahabat dengan Imam Ahmad, mengikuti pengajiannya untuk tempoh lama dan kerap bertanya soalan-soalan yang rencam berkaitan perkara furu’ dan usul.
Imam Abu Daud telah menghimpunkan hadith di dalam kitab Sunannya sebanyak 5274 hadith. Keprihatinan beliau terhadap kitab ini terbukti dengan mengumpulkan hadith-hadith yang sering dijadikan dalil oleh para fuqaha’ dan diulang-ulang di kalangan mereka. Ramai para ulamak dari satu zaman ke zaman yang lain menggunakan himpunan hadith di dalam kitab beliau sebagai sandaran hukum dan menamakan hadith-hadith ini sebagai hadith hukum.
Beliau wafat di Basrah pada hari jumaat 15 Syawal tahun 275H.
Kewafatan Syeikh Muhammad al-Ghazali
Beliau ialah al-Fadhil Prof. Muhammad al-Ghazali bin Ahmad as-Saqa al-Misri. Beliau merupakan seorang pemikir Islam terulung, pendakwah dan penulis. Lahir di daerah Buhairah di Mesir tahun 1335H. Beliau dikenali sebagai al-Ghazali kerana bapanya seorang yang sangat fanatic dengan Imam Ghazali pengarang Ihya’ Ulumuddin.
Beliau telah belajar di Al-Azhar dan menyertai Ikhwan Muslimin, pernah dipenjara dan bekerja sebagai secretariat di Majalah Ad-Dakwah. Beliau telah mengambil jurusan syariah, usuluddin dan pengajian Arab di Univerisiti Al-Azhar dan Universiti Ummul Qura di Mekah. Terlibat dalam perkembangan fakulti Syariah di Universiti Qatar dan menyumbangkan tenaga dalam penubuhan Universiti Amir Abdul Qadir Islamiah di Algeria. Pernah sebagai pemerhati dan wakil bagi Kementerian Hal Ehwal Agama Mesir dan menerima anugerah pingat Raja Faisol kerana sumbangannya kepada Islam.
Beliau seorang berbudi pekerti mulia, sering merendah diri, sopan santun, petah berbicara, menguasai hadith dan kaya dengan ilmu.
Beliau meninggal dunia di Riyadh pada 19 Syawal 1417H dan dikebumikan di perkuburan Baqi’ di Madinah. Beliau telah mengarang lebih 60 judul.
British menjajah Libya
Berlaku pada 11 Syawal 1329H bersamaan 4 Oktober 1911M setelah berakhir penjajahan Itali di Libya. Ia berpunca di atas kelemahan umat Islam di semua tempat kerana dalam masa yang sama Perancis menjajah Tunisia, Algeria dan Morocco sementara British turut menjajah Mesir dan Qubrus. Di sinilah lahirnya tokoh mujahid Umar al-Mukhtar.
Kewafatan Muhammad bin Sirin penulis kitab Tafsir mimpi
Pada 9 Syawal tahun 110H berlaku kewafatan Muhmmad bin Sirin pengarang Kitab al-Ahlam. Beliau dilahirkan pada zaman Khalifah Uthman bin Affan r.a tahun 33H (653M). Beliau dikenali seorang yang zuhud dan warak. Beliau juga seorang pakar hadith yang bijak dan seorang pakar fiqh yang matang. Beliau adalah imam di zamannya dalam bidang ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal dalam bidang ilmu, feqh dan ta’bir mimpi. Bapanya dulu adalah budak suruhan Anas bin Malik yang kemudian dimerdekakan. Ibunya bernama Sofiyah yang merupakan budak suruhan Abu Bakar As-Siddiq r.a.
Kelahiran Imam al-Bushairy pengarang Al-Burdah
Beliau ialah Imam Syarafuddin Muhammad al-Bushairy pelopor ayat-ayat pujiaan kepada nabi . Lahir pada 1 Syawal 608H bersamaan 7 Mac 1213M di Mesir di daerah Bani Suef. Beliau memiliki nurani yang halus dan citarasa yang tinggi di dalam pujian kepada nabi.
Beliau pernah bermimpi berjumpa nabi saw yang seolah-olah nabi menghampirinya sambil memakaikan pakaian burdah yang merupakan lambing ketinggian dan kemegahan. Lalu setelah bangun dari tidur beliau begitu riang gembira dan terus mengarang qasidah tentang nabi yang dinamakan Burdah.
Perkahwinan nabi saw dengan Saidatina ‘Aisyah
Perkahwinan ini hasil cadangan Khawlah binti Hakim untuk mengukuhkan hubungan dengan Abu Bakar as-Siddiq dan mengikatnya melalui hubungan musoharah. Lalu nabi telah meminangnya dan melangsungkan pernikahan pada bulan Syawal.
Kewafatan Hassan al-Hudhaibi
Beliau adalah Mursyid Am Ikhwan Muslimin yang kedua. Beliau lahir di daerah Qalyubi pada Disember 1891M. Pada tanggal 17 Oktober 1951 beliau telah dilantik sebagai Mursyid Am Ikhwan Muslimin selepas pengasas dan Mursyid yang pertama Imam Hassan Al-Banna. Di antara karya beliau ialah Duat la Qudhath, Inna Haza al-Qur’an, Islam wa al-Da’iyyah.
Pada subuh khamis 14 Syawal 1393H bersamaan 11 November 1973 beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Diterjemah dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=24558&SecID=363
No comments:
Post a Comment