Thursday, September 16, 2010

Apakah Agenda Selepas Ramadhan?

Oleh: Dr. Jamal Nasier

Tidak dinafikan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan penuh keagungan dengan bermacam kelebihan di dalamnya. Ini kerana umat Islam memperolehi kebahagiaan di saat umat mendekatkan diri dengan Allah seperti bulan yang mulia ini setiap tahun melimpahkan keberkatan, kebaikan, kerahmatan, keampunan dan pembebasan dari api neraka, satu saat yang dinantikan golongan tua dan muda, lelaki dan perempuan, golongan kaya dan miskin di mana Allah campakkan perasaan itu di lubuk hati semua para mukminin termasuk hati kanak-kanak yang tidak mengenal erti puasa mahupun qiam.

Ramadhan adalah bulan yang membangunkan jiwa dan salah satu rukun Islam yang telah dipilih oleh Allah sebagai pintu-pintu Islam yang besar dan sudut-sudut Islam yang luas dan Allah jadikannya sebagai salah tiang kepada Islam.

Oleh itu, bulan Ramadhan bukanlah semata-mata untuk memperolehi kebahagiaan ketika berada dibulan ini dan merasai kesedihan ketika berpisah dengannya kemudian menunggu kedatangan Ramadhan pada tahun yang akan datang. Bulan Ramadhan adalah umpama salah satu tiang yang menampung Islam. Cuba bayangkan bersama saya, jikalau tiang-tiang ini tidak ada atau bayangkan tiang-tiang ini dikhianati atau bayangkan tiang-tiang ini berlaku kecacatan semasa pembinaannya atau kecacatan semasa pemasangannya, apa yang akan terjadi? Pastilah binaan keseluruhannya akan runtuh walaupun hanya berpunca dari satu tiang sahaja. Benar..binaan yang besar akan runtuh seluruhnya!

Seandainya kita mahukan sebuah binaan yang kuat lagi kukuh bagi umat ini maka asas binaannya mestilah kukuh. Kemudian tugasan selepas Ramadhan mestilah sampai tahap terbaik hingga mampu memikul amanah Islam yang agung lagi hebat.

Dengan keazaman, pemikiran dan dari titik tolak ini kita ingin hidup selepas Ramadhan dan kita ingin supaya kita berkemampuan untuk memikul amanah yang agung dan besar ini. Justeru isu ini bukan sekadar isu puasa sahaja tetapi isu pembinaan umat atau dikatakan pembinaan sebaik-baik umat: kita bawakan isu terbiyah kerana barisan muslim perlu kepada elemen tarbiyah yang lebih khusus. Ramadhan datang dengan fungsi ini kerana seorang muslim tidak akan mampu untuk berjihad, berjuang atau berdiri teguh melainkan jika mengambil elemen tarbiyah secara seimbang. Bulan Ramadhan mendidik kita dengan tujuh jenis akhlak; antaranya mendidik kita menyahut perintah Allah dengan sempurna tanpa melihat hikmat di sebaliknya, begitu juga Ramadhan mendidik kita supaya mengawal syahwat yang cenderung kepada sesuatu yang tidak diredhai Allah, akhlak mendidik kita supaya mengawal perasaan dan keupayaan menahan marah, mendidik kita untuk menafkahkan pada jalan Allah. Begitu juga Ramadhan mendidik kita kepada sensitiviti yang mulia iaitu sensitiviti kesatuan, persaudaraan dan solidarity antara semua umat Islam di seluruh dunia dan sensitiviti kepada penderitaan dan permasalahan orang lain.

Fakta terakhir bahawa Ramadhan mendidik kita satu perkara yang sangat penting. Perkara ini adalah intipati ibadah puasa yang menjadi tujuan utama puasa iaitu Ramadhan mendidik kita kepada “takwa”.

Justeru kita wajib menghayati dan menghidupkan amalan selepas Ramadhan untuk membangunkan diri kita dan umat kita yang baru. Sensitiviti yang memuliakan dan mengutamakan Islam adalah antara elemen penting kepada kemenangan dan keteguhan Islam. Umat yang memiliki sensitiviti kepada selain Islam menyebabkan umat tidak akan bangun dan tidak akan menuju puncak ketinggian.

Beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada Ramadhan

- Sentiasa mencintai ilmu dan kefahaman agama dengan menggemblingkan tenaga untuknya dan mengambil ilmu ini daripada sumber yang tulin: Kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw, sirah dan petunjuknya berpandukan pedoman yang ditinggalkan oleh ulamak terdahulu berupa pusaka ilmu dan ketamadunan yang masih menjadi tumpuan manusia dan kekal begitu sehingga hari Kiamat.

- Sentiasa menjaga hubungan dengan Allah melalui puasa sunat, qiamullail, zikir, tilawah al-Quran, muhasabah diri, bertaubat, beristighfar, sedekah dan lain-lain lagi.

- Sentiasa menjaga akhlak dan budipekerti mulia seperti berbuat baik dengan ibubapa, menjaga silaturrahim, mengelakkan diri dari menyusahkan orang lain dalam apa jua bentuk, menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain, berlaku ihsan iaitu melakukan yang terbaik kerana takutkan Allah, mengharapkan pahalaNya dan menjauhkan diripada perbuatan jahat yang menghasilkan perbuatan jahat yang lain, tetapi menjadikan perbuatan jahat diganti dengan perbuatan baik.

- Sentiasa menyucikan hati daripada sifat iri hati, hasad dengki, khianat, menipu, was was, bermusuh dan membenci terutama seperti sabda nabi:

“Berpuasalah pada bulan kesabaran dan tiga hari setiap bulan akan menghapuskan dosa dan amalkanlah harru sodr”. (Ibn Hibban)

Menurut ulamak harru sodr ialah perbuatan yang tidak ada penipuan, was was, bengis, iri hati, hasad dengki, marah. Inilah perbuatan yang dapat menghindarkan dari perpecahan dan persengketaan.

-Sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah supaya mengurniakan kita sifat ikhlas, jujur, sabar, melakukan usaha menasihati dan mengajak manusia ke jalan yang benar dan terpuji, menyatukan barisan dan berterusan dengannya tanpa terputus.

-Sentiasa menjaga ahli keluarga, anak-anak dan kerabat kita di mana kita bergaul, menyantuni dan memberi makanan ruh, jiwa dan akal mereka supaya sentiasa berada di atas petunjuk Allah dan RasulNya juga mengambil pengalaman dan pengajaran daripada murabbi yang benar.

-Sentiasa mendedahkan konspirasi dan perancangan musuh supaya masyarakat awam tidak tertipu dan berusaha menggagalkan rancangan jahat ini melalui apa jua cara yang terdaya selagi tidak bertentangan prinsip syarak yang suci.

Oleh itu kita hendaklah sentiasa melaksanakan semua di atas selepas Ramadhan tahun ini seperti yang kita telah tempuhi dan rasainya di bulan Ramadhan.

Beberapa perkara yang patut kita berikan perhatian

-Berwaspada dari syaitan kerana setelah satu bulan dengan ibadah yang panjang selepas berakhir Ramadhan dan hari pertama syawal akan berlaku kemerosotan amalan, tetapi pada ketika berlaku kemerosotan ini syaitan sedikitpun tidak menolong kamu bahkan menambahkan lagi kemerosotan itu.

-Tidak logic kita meninggalkan semua ini..kamu jatuh dari cita-cita tertinggi kerana Allah telah mengurniakan nikmat kepada kita dengan ibadah yang panjang di bulan Ramadhan dan selepas Ramadhan. Kita telah mengetahui kesan ibadah dan kita telah merasai makanan iman, kemanisan ibadah dan kelazatan munajat. Oleh itu kita perlu memelihara kenikmatan ini dengan cara kita memberi perhatian kepada ketaatan, menghidupkan ibadah dan mengikuti jalan yang lurus dan petunjuk yang benar melalui tilawah al-Quran walaupun satu halaman sehari, mengamalkan doa harian walaupun beberapa minit selepas solat isyak, mengamalkan zikir harian dengan zikir pagi dan petang, menunaikan solat lima waktu secara berjamaah semampu mungkin, bergaul dengan sahabat yang soleh dan mengutamakannya hingga sebahagian mereka membantu sebahaian yang lain untuk taat dan teguh hati.

- Soalan yang sering ditanya kebanyakan orang ialah adakah Allah menerima Ramadhan kita? Oleh itu kita mestilah menjadikan selepas Ramadhan suatu kebaikan dan kesejahteraan pada kita..kita melaksanakannya di minggu pertama selepas Ramadhan kerana kita bimbangkan diri kita..kalau kita tetap melakukan ibadah dan perbuatan maksiat. Adapun kalau kita dapati perlaksanaan ibadah dan akhlak kita meningkat dan berubah ke arah lebih baik selepas Ramadhan kita rasa gembira dengan izin Allah sebelum kita bertemu Ramadhan semula..

Dengan makna ini kita semestinya menghayati dan mengambil kebaikan daripada bulan Ramadhan yang mulia untuk pembangunan dan pembinaan jiwa kita dalam semua lapangan supaya menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia.
Kita mohon Allah menerima amal ibadah kita dan menolong kita melakukan kebaikan pada bulan-bulan akan datang selepas Ramadhan. Allah adalah pemiliki atas semua perkara dan berkuasa atas segala sesuatu.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=54207&SecID=363

No comments:

ALQURAN & RECITATION

Quran Explorer - [Sura : 1, Verse : 1 - 7]