Thursday, May 06, 2010

Baitul Maqdis Sejarah Yang Tidak Pernah Luput.

Oleh : Muhammad Ibnu Nazir.
MyMini Library.

BismillahirRahmanirRahim. Innal hamda lillahi, nahmaduhu wa nast'inuhu, man yahdihil lahu fala mudhilla lahu, waman yudhlil fala hadiya lahu. Wa asyhadu anla ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu waanna Muhammadan abduhu wa Rasulluhu.


Amma ba'du.


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera buat semua yang hadir di sini. Terutamanya para Mujahidin dan Mujahadah Siber yang tidak putus-putus menyebarkan kebenaran demi mentauhidkan Allah SWT. Semoga kita semua dirahmati dan dilindungi Allah Azza Wajalla.


Sejarah lalu mengamit segala percaturan hidup manusia, memberi kesan ilmiah yang berguna untuk sekelian insan. Bagi yang mengenal malah mengambilnya sebagai renungan Ibrah adalah yang sebaik-baiknya untuk bekalan sepanjang zaman. Sejarah penaklukan Romawi ke atas bumi Anbiya’ adalah sejarah yang tidak pernah luput dan lekang dalam dunia Islam. Walaupun ia sudah beribu tahun yang lalu, namun para pengkaji sejarah tetap mencari akan kebenaran. Kebenaran Al-Quran, Kebenaran Al-Sunnah SAW, kebenaran hakikat kehidupan dan kebenaran mengenal diri kepada Maha Pencipta. Kebenarannya akan terlihat jika kita mengetahuinya melalui asas-asas yang benar. Kebenarannya itu juga akan terpancar jika sunnah SAW itu kita teladani dan ikuti dan kebenaran itu akan jelas kelihatan jika tauhid Allah SWT itu kita sematkan dalam hati dan diri kita.


Jika kita miliki segunung kertas pujian dari manusia sekalipun, namun kepercayaan akan tauhid Allah SWT itu kita abaikan, maka tidak mustahil, segunung kertas tersebut adalah donggengan hidup yang memalukan. Lihat sahaja dekad ini, manusia begitu gah dengan pencapaian sebuah kertas yang berprestij, namun masih lagi ingkar akan kewujudan Tuhan, dan malah masih ‘degil’ untuk bersujud terhadap-Nya. Perlu diingati juga, ‘kertas’ adalah sebuah kertas yang tidak bernilai jika hati-hati itu berpaksikan duniawi yang melalaikan. Maka bertuahlah manusia itu yang menganggap bahawa ‘kertas’ itu hanyalah sebuah dokongan untuk mengapai cinta Illahi. AllahuAkbar!


“Baitul Maqdis Sejarah Yang Tidak Pernah Luput.”


Sebagaimana yang telah diriwayatkan sebelum ini, didapati bahawa peristiwa tersebut berlaku pada tahun 15 Hijrah bersamaan 636 Masihi, bilamana pasukan-pasukan tentera di bawah panglima perang masing-masing yang terkenal seperti Khalid Ibn Walid, Ubaidah, Amru Ibn Ash, Syarahbil Ibn Hasanah, Ikhrimah Ibn Abi Jahl, Yazid Ibn Abi Sufyan, Mu’awiyah Ibn Abi Sufyan, Qa’qa dan lain-lain berjaya membebaskan daerah-daerah penting di Syam (kini Palestin, Jordan dan Syria) yang diduduki oleh pasukan-pasukan Romawi Byzantium.



Ketika itu pasukan Islam di sebelah selatan dipimpin oleh Amru Ibn al-Ash dan Syarahbil Ibn Hasanah masih tetap mengepung Jurusalem dari setiap penjuru, terutama dari arah laut tengah. Pasukan Islam diperkuatkan lagi oleh beberapa bantuan dari Madinah, antara lain pasukan yang dipimpin oleh Mu’awiyah Ibn Abi Sufyan. Hasil daripada pengepungan yang berlangsung lebih empat bulan itu, akhirnya Rom Byzantium yang berada di dalam Kota Jerusalem menyerah kalah dan penduduk Iliya (nama Jerusalem ketika itu) yang dipimpin oleh tokoh agama Kristian Patriarch Shafarniyus ingin mengadakan perjanjian damai dengan pemerintah Islam, seperti daerah-daerah lainnya yang sudah dibebaskan sebelumnya. Setelah tewasnya tentera Rom terhadap tentera Islam, maka perjanjian perdamaian telah dapat dimeterai oleh kedua-dua pihak.


Persoalannya.


Apakah isi kandungan Perjanjian tersebut?


Perjanjian Perdamaian Jerusalem.


Berbeza dengan perjanjian-perjanjian perdamaian yang dibuat sebelumnya yang mana ianya cukup lengkap dengan panglima-panglima perang di bahagian masing-masing, penduduk Jerusalem di bawah pimpinan Patriarch Shafarniyus ingin membuat perjanjian terus dengan Khalifah Umar Ibn al-Khatab r.a dan memohon kehadiran khalifah yang terkenal adil dan bijaksana itu ke Jerusalem untuk menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi.


Terdapat dua riwayat menyatakan mengenai siapa yang menulis surat kepada Khalifah Umar r.a bagi menunai permintaan penduduk Jerusalem untuk berdamai. Ada yang mengatakan surat itu datang daripada Amru Ibn al-Ash (panglima di sebelah selatan yang mengepung Kota Jerusalem) dan ada riwayat lain pula menyatakan bahawa surat tersebut ditulis oleh Abu Ubaidah (panglima di sebelah utara yang dipindahkan oleh Khalifah Umar r.a ke sebelah selatan). Namun, satu pekara dalam peristiwa ini yang mendapat kesepakatan ahli sejarah, iaitu perjanjian perdamaian tersebut dilakukan di suatu tempat yang disebut “Jabiyah” yang terletak di utara Yarmuk, iaitu kira-kira 200 km dari kota Jerusalem.


Fasa Perjanjian Damai Antara Patriarch Shafarniyus Dan Khalifah Umar Al-Khattab R.A


Setelah mendapat sokongan daripada para sahabat di Madinah, Khalifah Umar r.a berangkat bersama-sama dengan sebuah pasukan yang dibantu dibahagian sebelah selatan menuju Jabiyah. Sebagai pengganti khalifah di Madinah, maka dilantik Sayidina Ali r.a yang ketika itu banyak memberikan saranan-saranan positif di atas keberangkatan Khalifah r.a memenuhi permintaan penduduk Jerusalem untuk hadir di Baitul Maqdis.


Setelah sampai di Jabiyah, Khalifah Umar r.a, disambut oleh panglima-panglima perangnya dengan berpakaian mewah hasil rampasan dari pasukan Romawi Byzantium yang telah dikalahkan. Melihat penampilan para panglimanya yang sebegitu rupa, Khalifah Umar r.a tidak langsung menunjukkan kegembiraan, sebaliknya raut wajahnya jelas kelihatan yang beliau amat marah. Khalifah Umar r.a menyangka bahawa pasukannya telah terpedaya oleh kemewahan dunia sepertimana yang telah berlaku kepada pasukan Romawi, tetapi setelah mereka perjelaskan kepada Khalifah bahawa yang dipakai itu ialah sejenis senjata perang (perlengkapan perang), barulah wajah beliau berubah bangga.



Tidak beberapa lama berada di Jabiyah, datang beberapa orang pegawai tinggi utusan Patriarch ke Jerusalem untuk melaksanakan perjanjian damai yang mereka usulkan kepada Khalifah Umar R.A. Pegawai tersebut disambut dengan baik dan berlakulah upacara menandatangani perjanjian tersebut yang disaksikan oleh penglima-panglima perang Islam, baik dari bahagian sebelah utara mahupun selatan.


Berikut adalah teks perjanjian perdamaian antara penduduk Jerusalem dengan Khalifah Umar R.A seperti mana yang terdapat di dalam buku sejarah dunia Imam Al-Tabari (310 H).



Teks Perjanjian Perdamaian Antara Penduduk Jerusalem Dengan Khalifah Umar Ibn Khattab R.A.


BismillahirRahmanirRahim


Inilah perdamaian yang diberikan oleh hamba Allah Umar Ketua Negara Islam, kepada rakyat Iliya’. Dia menjamin mereka akan keamanan pada diri, harta benda, gereja-gereja, salib-salib, yang sakit mahupun yang sihat dan semua aliran agama mereka. Tidak boleh mengganggu gereja mereka mahupun mencerobohinya, mengurangi mahupun menghilangkan sama sekali, demikian pula tidak boleh menganggu salib dan harta benda mereka sama sekali. Tidak boleh memaksa mereka meninggalkan agama dan tidak boleh menganggu mereka. Tidak dibolehkan bagi penduduk Iliya’ untuk memberi tempat tinggal kepada orang Yahudi.


Mereka wajib membayar jizyah (cukai kepala), seperti orang Madain (penduduk Iraq). Mereka wajib mengusir orang Romawi sebagai pencuri. Apabila mereka (orang Romawi) ingin meninggalkan Jerusalem secara sukarela, mereka akan dilindungi sehingga ke perbatasan, tetapi apabila mereka ingin tetap tinggal bersama rakyat Iliya’, diharuskan membayar jizyah seperti rakyat Iliya’. Dibenarkan bagi penduduk Iliya’ yang berminat meninggalkan (tempatnya) pergi bersama-sama bangsa Romawi dengan membawa harta bendanya, mengosongkan tempat peribadatannya, dan salib-salibnya dan akan dilindungi hingga ke perbatasan yang dianggap aman.


Orang lain yang ingin tinggal diwajibkan membayar jizyah seperti rakyat Iliya’. Dibenarkan sesiapa yang akan pergi bersama-sama orang Romawi, dan sesiapa yang kembali ke Iliya’ untuk tinggal bersama-sama ahli keluarganya, tidak akan dipungut ke atas mereka jizyah hingga dapt hasil. Perjanjian ini akan dilindungi oleh Allah SWT dan dijamin oleh Rasul-Nya serta dilaksanakan oleh para Khulafa dan ditaati oleh Muslimin, selama mereka membayar jizyah sebagai kewajipannya.


Iliya’ adalah nama yang masyhur bagi Jerusalem ketika itu. Setelah selesai upacara menandatanggani perjanjian perdamaian, Khalifah Umar R.A dengan disertai dua panglima iaitu Syurahbil dan Amru al-Ash berangkat menuju ke Baitul Maqdis untuk memenuhi undangan Patriarch dan menerima penyerahan kunci Kota Jerusalem. Lebih penting daripada itu bagi Khalifah Umar R.A ialah melakukan ziarah ke Masjid al-Aqsa seperti yang dianjurkan oleh Nabi S.A.W.


Ketokohan Amirul Mukminin.


Perjalanan dari Jabiyah (tempat menandatangani perjanjian) perlu ditempuh selama berhari-hari. Selain jaraknya yang jauh, jalannya menempuhi laluan yang agak sukar. Umar R.A bertolak ke Jerusalem dengan seorang pembantunya. Mereka bergilir-gilir menaiki kuda. Apabila hampir tiba di Jerusalem, kebetulan giliran pembantu Umar R.A menaiki kuda dan beliau menarik tali pedati kuda. Maka pembantu beliau berkata,


“Wahai Amirul Mukminin, lebih baik anda menaiki kuda dan hamba menarik tali pedati tersebut.”


Namun Umar R.A tetap bertegas untuk mengikut gilirannya. Sementara itu, pembesar-pembesar Kristian dan penduduk Jerusalem yang menanti ketibaan Umar R.A dan mengandaikan beliau akan tiba dengan satu rombongan yang besar dan hebat sehebat namanya, amat terkejut apabila sangkaan mereka meleset kerana Umar R.A hanya ditemani seorang sahaja pembantunya, setibanya di Jerusalem.


Lebih mengharukan, mereka melihat Khalifah Umar R.A yang menarik tali kuda, dan ditunggang oleh hambanya. Patriarch Syarafniyus sambil menangis berkata kepada Umar R.A.


“Kalau beginilah kamu, sesungguhnya kerajaan kamu tidak akan tewas.”


Umar R.A menjawab,


“Sesungguhnya keadaan kita adalah seperti roda, adakalanya di atas dan adakalanya di bawah.”


Mereka menghormati Khalifah Umar R.A kerana kelembutan kata-katanya, keadilan dan kesungguhannya melaksanakan isi perjanjian yang baru sahaja dibuat. Penduduk Jerusalem merasa diri, harta benda dan agama serta gereja-gereja mereka kini dalam keadaan aman. Mereka merasakan perbezaan yang jelas antara keadilan Khalifah Umar R.A dengan senua Kaisar yang datang sebelumnya. Setelah selesai upacara sambutan, Khalifah Umar R.A serta rombongan beristirehat untuk pertemuan seterusnya pada pagi esoknya.


Pembebasan Baitul Maqdis.


Khalifah Umar R.A melakukan solat dua rakaat, tanda bersyukur atas nikmat besar yang dikurniakan Allah SWT kepada umat Islam, iaitu berjaya membebaskan Baitul Maqdis, tempat Israk Mikraj Rasulullah SAW, dan Masjid al-Aqsa yang merupakan satu antara tiga masjid yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk menziarahinya. Rasulullah SAW tidak pernah datang lagi ke tempat yang mulia ini setelah peristiwa Israk Mikraj. Begitu juga Khalifah Abu Bakar R.A, di mana pada masa beliau memegang jawatan khalifah, tidak tercapai membebaskan dan melihat kota suci ini. Khalifah Umar R.A sangat beruntung kerana menyaksikan sendiri kota Baitul Maqdis dibebaskan.


Baitul Maqdis Medan Sejarah Islam.


Pada hari kedua kunjungan Khalifah Umar R.A, Patriarch Syarafniyus mengajak beliau berjalan-jalan di sekeliling kota untuk melihat tempat-tempat bersejarah, tempat-tempat suci dan tempat-tempat orang Kristian melakukan ziarah haji. Baitul Maqdis adalah tempat diturunkan sebahagian besar Risalatussama’ (Risalah dari langit) dan tempat para Nabi dan Rasul menegakkan risalah Allah SWT.


Masjid Al-Aqsa Di Palestin


Di sinilah Nabi Musa A.S serta pengikutnya Bani Israel tinggal setelah keluar dari Mesir dan di sini juga pernah berlaku cubaan menyalib Nabi Isa A.S yang kemudian didirikan Gereja Al-Qiyamah. Di Baitul Maqdis terdapat Mihrab dari Nabi Daud A.S dan Batu Nabi Yaakub A.S, tempat Rasulullah SAW melalui Mikraj, menurut beberapa riwayat.


Peta Palestin Pada Tahun 2007


Sebahagian besar daripada tempat-tempat bersejarah ini dibanggunkan atas runtuhan atau bekas bangunan tempat-tempat ibadah “Watsanit’ penyembah berhala di zaman Romawi pertama, Babylonia dan zaman Pharaoh di Mesir. Kesemuanya ini telah diceritakan oleh Patriarch Jerusalem kepada Khalifah Umar R.A.


Keengganan Kalifah Umar R.A Mengerjakan Solat Di Gereja Al-Qiyamah Dan Gereja Constantine.


Ketika masuk waktu solat Asar, Patriarch mempersilakan Khalifah Umar R.A solat di Gereja al-Qiyamah, tetapi Khalifah Umar R.A menolaknya kerana bimbang tempat itu akan diubah menjadi masjid dengan alasan bahawa beliau pernah melakukan solat di situ. Begitu juga, Khalifah Umar R.A menolak melakukan solat di Gereja Constantine yang letaknya tidak jauh dari Gereja al-Qiyamah.


Gereja Al-Qiyamah Di Jerusalem


Dengan Berpandukan petunjuk dan isyarat yang pernah diberikan oleh Rasulullah SAW mengenai Baitul Maqdis dan tempat Baginda SAW mengerjakan solat ketika itu (Israk Mikraj), Khalifah Umar R.A pergi ke tempat lain iaitu kira-kira 500 meter dari Gereja al-Qiyamah dan beliau sampai di suatu tempat dekat satu bongkah batu besar (Shakhrah) dan di sanalah beliau dan rombongannya mengerjakan solat.


Detik Pembinaan Masjid Umar.


Semenjak Khalifah Umar R.A dan rombongannya mengerjakan solat di Shakhrah, tempat tersebut dibanggunkan secara sederhana dengan dibina kubah seperti mana banggunan Masjid Nabawi di Madinah ketika Rasulullah SAW pertama kali membanggunkan masjid tersebut. Itulah masjid yang pertama kali dibanggunkan di atas halaman Al-Haramussyarif Baitul Maqdis yang kemudian disebut Masjid Umar.


Masjid Umar Al-Khattab R.A Di Palestin


Suasana Di Dalam Masjid Umar Al-Khattab R.A Di Palestin


Sehubungan dengan bangunan Masjid Umar, Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam buku sejarah dunianya mengatakan :


“Sebelum Khalifah Umar R.A mengerjakan solat, beliau telah bertanya kepada salah seorang sahabat yang berasal daripada kalangan orang yahudi Madinah yang bernama Ka’ab al-Ahbar, “Ke mana musala/masjid akan dihadapkan?” Ka’ab al-Ahbar menjawab, “Ke Shakhrah.” Khalifah Umar R.A berkata, “Kamu masih seperti orang yahudi (agama yahudi). Hai Ka’ab, saya perhatikan kamu membuka sepatu di tempat ini.” Selanjutnya Khalifah Umar R.A berkata, “Saya akan menghadapkan masjid ini ke dadanya (ke hadapan). Sebagaimana Rasulullah SAW menghadapkan masjid kita kea rah hadapan. Saya tidak pernah diperintahkan lagi untuk menghadap ke Shakhrah, tetapi Khalifah Umar dan umat Islam semuanya menghormati Shakhrah, kerana tempat ini ialah tempat Rasulullah SAW memulakan Mikraj.”


Pemeliharaan Shakhrah.


Ketika Khalifah Umar R.A menemui batu tersebut, beliau dan pasukan tentera Islam membersihkannya dengan membuang tompokan tanah dan sampah yang menutupi batu itu akibat perbuatan orang Romawi yang pernah menduduki Jerusalem kerana kebencian mereka terhadap orang yahudi.


Masjid Al-Shakhrah Di Palestin


Semenjak itu Shakhrah mendapat perhatian dan pemeliharaan umat Islam dengan sebaik-baiknya, sehingga zaman Khalifah Umayyah Abdul Malik Ibn Marwan yang mengabdikannya dengan membanggunkan sebuah masjid yang megah dan indah di atas Shakhrah yang hingga sekarang di kenali dengan Qubbah Al-Shakhrah atau Masjid Al-Shakhrah.


Kelainan Masjid Al-Shakhrah berbanding Masjid Al-Aqsa dan masjid-masjid lain, ialah Masjid Al-Shakhrah tidak menghadap ke Kaabah, kerana tidak mempunyai mimbar tertentu yang menghadap ke Kaabah. Seperti yang kita lihat di dalam gambar, Masjid Al-Shakhrah berbentuk bulat seperti kubah, oleh kerana itu ia lebih di kenali sebagai kubah berbanding masjid.


Abdul Malik Ibn Marwan membina bangunan tersebut bukan sebagai masjid tetapi untuk mengabdikan tempat bermulanya Mikraj Rasulullah SAW, sedang masjid yang dibangunkan bersebelahannya sehingga sekarang di kenali dengan nama Masjid Al-Aqsa. WaAllahua’lam.

No comments:

ALQURAN & RECITATION

Quran Explorer - [Sura : 1, Verse : 1 - 7]