Sunday, November 30, 2008

Ibadah Haji dan Fiqh Aulawiyyat

Ibadat haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang berkemampuan. Ia berbeza dengan ibadah-ibadah lain seperti solat dan puasa. Selain memerlukan kekuatan fizikal dan mental, ia juga memerlukan kepada pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit, berpisah dengan keluarga tercinta, sanak saudara, sahabat handai, meninggalkan kampung halaman, menahan kemahuan nafsu dan sebagainya. Firman Allah S.W.T
فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَقَامُ إِبْرَاهِيمَ وَمَنْ دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلا وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (ال عمران: ٩٧)
Maksudnya: "Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliannya; di antaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah. Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk". (Ali Imran: 97)
Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah S.W.T. dengan memperolehi haji yang mabrur.

Ibadat haji hanya diwajibkan sekali sahaja seumur hidup bagi seseiapa yang mampu. Walau bagaimanapun, rukun Islan inilah yang sering diabai dan dilupakan oleh segelintir umat Islam. Firman Allah S.W.T.
وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالا وَعَلَى كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِنْ كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ( الحج: ٢٧ )
Maksudnya: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nascaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh". (al-Hajj: 27)
Ibadat haji harus dikerjakan berulang kali bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan dan cukup syarat-syaratnya. Walau bagaimanapun, menurut ulama ibadah haji itu wajib dikerjakan hanya sekali seumar hidup berdasarkan dari hadis Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Imam Ahmad.

"عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏"‏ أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ الْحَجَّ فَحُجُّوا. "فَقَالَ رَجُلٌ أَكُلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلاَثًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم" لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ - ثُمَّ قَالَ - ذَرُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِكَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَىْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَدَعُوهُ."
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W. telah bersabda di dalam khutbahnya: "Wahai sekalian manusia! Sesunggunya Allah telah mewajibkan kepada kamu haji. Oleh itu, kerjakanlah ibadat haji. Seorang lelaki bertanya: "Adakah (dikerjakan haji) pada setiap tahun?" Baginda diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang-ulang pertanyaannya sebayak tiga kali, selepas itu barulah Baginda menjawab dan bersabda: "Jika aku katakan "ya", nascaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berdaya melakukannya. Kemudian Baginda menjawab lagi: "Peliharalah apa yang telah aku tinggalkan kepada kamu. Sesungguhnya ia telah banyak membinasakan orang-orang sebelum kamu disebabkan pertanyaan mereka dan menyalahkan Nabi-Nabi mereka. Sekiranya aku memerintahkan sesuatu, maka kamu ambillah (sekiranya kamu mampu) dan apabila aku melarang daripada melakukanya, maka kamu tinggalkanlah". (riyawat: Imam Muslim dan Imam Ahmad)

Berdasarkan hadis di atas, ulama' telah sepakat mengatakan bahawa ibadat haji wajib dikerjakan hanya sekali seumur hidup. Jika dikerjakan berulang kali, maka haji yang kedua dan seterusnya itu dikira sunat.

Ulama' juga telah sepakat mengatakan bahawa ibadat haji tidak wajib dikerjakan dengan bersegera. Walau bagaimanapun, sunat tidak melambatkan ibadat tersebut bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan dan telah cukup syarat-syarat yang diwajibkan kepadanya. Bagi yang mempunyai kemampuan, janganlah ditangguhkan lagi. Janganlah ditunggu ke hari tua. Bersegera dalam membuat amal kebajikan itu adalah suatu perkara yang dituntut oleh Islam sebagaimana firman Allah S.W.T.
فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ ( المائدة: ٤٨)

Maksudnya: "Oleh itu berlumba-lumbalah (bersegera) kamu membuat amal kebajikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kepada kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” (al-Maidah: 48)

Persoalan besar timbul dalam masyarakat Islam ialah terdapat sebilangan umat Islam yang kaya dan berkemampuan berulang kali menunaikan fardhu haji dengan menghabiskan perbelanjaan yang besar. Ketika mengulas isu haj yang berulang-ulang khususnya dari segi keutamaan atau afdhaliyyat atau aulawiyyat, seorang ulama' terkenal iaitu Dr. Syeikh Yusof Qardawi mengatakan bahawa adalah lebih afdhal wang ringgit itu dibelanjakan di jalan Allah S.W.T, bersedekah, membantu untuk urusan dakwah atau membayar zakat dan menjelaskan hutang sesama manusia.

Beliau juga menjelaskan bahawa lebih baik mereka memberi peluang kepada orang lain menunaikan ibadat haji daripada terus menunaikannya berulang kali kerana menjaga kepentingan dan mengelakkan kesulitan serta kesesakan kepada jemaah haji di Tanah suci Mekah. Harus diingatlah bahawa menutup pintu kerosakan lebih baik daripada melakukan kebaikan.

Di samping itu juga, ibadat itu tidaklah terhad, malah ianya meliputi ibadah wajib dan sunat. Kenapa sebahagian ummat Islam hanya tertumpu menunaikan ibadah haji ini berulang kali? Sedangkan mereka membiarkan golongan fakir miskin, saudara mara atau jiran hidup di dalam kesusahan. Sebenarnya, bersedekah atau memberi sumbangan menjadi satu kewajipan kepada orang kaya membantu golongan-golongan tersebut yang dalam kesusahan.
Selain itu juga, adalah lebih baik mereka menginfaqkan wang ringgit untuk tujuan kebajikan seperti membina sekolah-sekolah agama, institusi-institusi pendidikan Islam, membantu negara-negara Islam yang susah dan sebagainya. Selanjutnya waspadalah janganlah sampai terperangkap membantu musuh-musuh Islam atau agen-agennya yang cuba merosakkan agama Islam dan umatnya. Kesediaan orang kaya dan yang berkemampuan membantu golongan-golongan yang susah adalah bukti kekuatan iman seseorang yang sanggup mengorbankan harta kesayangan demi kepentingan Islam dan umatnya di seluruh dunia.

Namun, kesemuanya itu bergantung kepada niat seseorang dan sesungguhnya melakukan amal kebaikan lain adalah lebih baik daripada menunaikan ibadat haji berulang kali kerana manfaatnya sentiasa berpanjangan dan untuk kebaikan orang ramai khususnya umat Islam, di samping mendapat pahala yang sangat besar daripada Allah S.W.T di akhirat kelak.

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ، الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ ( التوبة: ١٩- ٢٠ )

Maksudnya: "Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan ibadat haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjidil Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum jemaah haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan merka itulah orang-orang yang berjaya".
(Surah at-Taubah ayat : 19)

No comments:

ALQURAN & RECITATION

Quran Explorer - [Sura : 1, Verse : 1 - 7]