Tuesday, December 15, 2009

Selamatkan bahtera anda daripada karam



Ahmad Baei Jaafar


Dalam hubungan suami isteri ramai yang tersilap percaturan hidup. Mereka silap dalam menilai kasih sayang dan kebahagiaan. Mereka selalu terjebak dalam kancah dosa dan maksiat apabila gagal dalam menyampaikan rasa cinta. Lalu suami dan isteri itu memilih jalan sendiri tanpa merujuk kepada ajaran dan panduan Islam.Berdasarkan pengalaman saya dalam berhadapan dengan masalah pasangan suami isteri, jelas mereka tidak benar-benar faham akan apa yang seharusnya mereka mahu dalam kehidupan berumah tangga.


Mereka juga tidak tahu apa yang seharusnya mereka lakukan untuk kebahagian rumah tangga mereka. Bahtera kehidupan mereka berlayar tanpa tujuan.Saya berkesempatan menonton beberapa drama TV tempatan yang menggambarkan kepincangan rumah tangga. Walaupun ia sekadar cerita andaian penulis skrip, namun saya percaya 70 peratus daripada sesuatu cerita itu adalah realiti yang sukar dinafikan. Sikap suami dan isteri yang membelakangkan ajaran Islam itulah punca sebenarnya.


Persoalannya, sejauh mana pasangan suami isteri itu tahu ajaran Islam khususnya dalam hubungan antara mereka. Adakah mereka belajar semua itu sebelum berkahwin? Adakah mereka secara peribadi sanggup bertanya pengamalan orang lain terutama ibu bapa mereka dalam membina rumah tangga?Ramai pasangan yang hendak berkahwin berjumpa saya tetapi sekadar untuk mendapat sokongan bagi membolehkan permohonan mereka untuk berkahwin itu diluluskan oleh pejabat agama daerah. Tetapi mereka tidak pernah bertanya kepada saya apakah rahsia kebahagiaan rumah tangga. Adakah mereka malu atau rasa sudah tahu atau rasa tidak perlu tahu?Seperti yang pernah saya jelaskan sebelum ini, kursus pra perkahwinan yang dijalankan seluruh negara gagal memberikan ilmu kebahagiaan rumah tangga kepada pesertanya bukan kerana korikulumnya tetapi kerana sikap peserta yang ambil tidak kisah dengan pengajaran yang diberi. Kesannya, ramai yang berkahwin selepas itu menghadapi masalah.Sebenarnya untuk bahagia suami perlu tahu apakah yang isterinya mahu daripadanya, dan isteri juga perlu tahu apakah yang dimahukan oleh suami daripadanya. Untuk mengetahuinya mereka perlu saling bertanya dengan pasangan masing-masing. Tetapi lazimnya mereka malu untuk bertanya lalu masing-masing menganggap boleh jadi pasangannya sudah tahu.Oleh sebab ramai yang malu bertanya, maka dalam ruangan ini biar saya jelaskan rahsia kebahagiaan rumah tangga. Sekurang-kurangnya ada dua perkara yang menjadi asas kebahagiaan, maka selagi pasangan itu dapat menerima dua perkara ini dan mengabadikan dalam kehidupan pasti akan ada kebahagiaannya.


1. Suami sentiasa mengharapkan belaian kasih isterinya.

2. Isteri sentiasa mengharapkan kasih sayang suami.


Pada pandangan anda bahagiakah rumah tangga itu kalau setiap kali suami balik rumah, akan dipersoalkan itu dan ini? Masing-masing ada jawapannya. Inilah realiti yang selalu terjadi, apabila balik rumah tidak disambut dengan belaian kasih. Pada waktu makan, suami diminta melayan diri. Pada waktu tidur, suami berpusing sebelah kanan dan isteri berpusing di sebelah kiri. Mungkin pada waktu hubungan seks, dilakukan dalam keadaan terpaksa. Walau bagaimanapun tindakan itu mungkin lebih baik daripada suami tidur dalam bilik berseorangan dan isteri tidur bersama anak-anak.Apa yang diharapkan oleh suami tidak mencapai, hatinya tidak mendapat belaian kasih. Hatinya terus meronta meminta dan mengharap tetapi tidak mahu hendak menyatakan semua itu kepada isterinya. Jika keadaan ini berterusan, tiada jaminan rumah tangga mereka mencapai bahagia.Manakala isteri dalam kes yang lain, sentiasa mengharapkan kasih sayang daripada suaminya.


Dalam hal ini mungkin ramai yang tidak tahu bahawa suami amat sayangkan isterinya sebab itu dia sanggup bayar hantaran yang besar. Tetapi pada realitinya dia tidak pandai nak pamirkan kasih sayangnya kepada isteri. Suami boleh beri nafkah apa yang diperlukan oleh seorang isteri tetapi cara memberinya tidak dengan penuh kasih sayang lalu pemberian itu tidak dirasai sebagai kasih sayang.Sebenarnya, selalu bertanya khabar akan keadaan isteri sama ada waktu berjauhan mahupun waktu di rumah adalah sebahagian daripada kasih sayang.


Perhatian suami kepada keadaan isteri, pujian dan simpati suami adalah ubat kasih sayang yang diperlukan isteri. Tetapi perkara selalu dipandang oleh suami sebagai mengada-mengada padahal itulah yang diharapkan oleh isteri.Perlu dijelaskan di sini, isteri yang baik tidak meminta dan mengharapkan wang dan harta daripada suami apatah lagi kalau suaminya miskin. Pada hati isteri, perhatian yang dipamirkan oleh suami sudah cukup menghiburkan hatinya. Perhatian itulah sebenarnya pembelaan suami yang menjadi impiannya semasa hendak berkahwin dahulu, namun semua itu tidak mampu hendak diucapkan isteri kepada suami.Percayakan kalau dua perkara ini dapat dihayati oleh pasangan rumah tangga, kebahagiaan sebenar akan diperoleh dengan segera. Malah rumah tangga yang bermasalah pun boleh dipulihkan kembali jika mereka mahu kembali kepada dua perkara ini. Selamat melayari bahtera bahagia.


Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah

No comments:

ALQURAN & RECITATION

Quran Explorer - [Sura : 1, Verse : 1 - 7]