Wednesday, September 02, 2009

PEPERANGAN BADAR AL-KUBRA


Firman Allah dalam ayat 123 surah Ali Imran yang bermaksud:


" Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dalam peperangan Badar sedangkan kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukuriNya"


Kedatangan bulan Ramadhan untuk sekian kalinya disambut dengan penuh kesyukuran dengan berpuasa disiang harinya dan mendirikan malamnya dengan solat terawih dan sebagainya disamping membaca al-Quran serta berzikir bagi mendekatkan diri kepada Allah. Kedatangan Ramadhan bersama rahmat Allah dan keampunanNya disamping berlipat gandanya pahala dan juga anugerah lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Kedatangan Ramadhan juga mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang berlaku pada bulan ini yang boleh kita sama-sama renungi. Pada bulan ini telah menyaksikan berlakunya pembukaan Kota Mekah yang gemilang oleh Rasulullah s.a.w pada tahun 8 Hijrah, pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Aqsa daripada cengkaman Kerajaan Rom oleh pahlawan Islam Salehudin al-Ayyubi.

Pada 17 Ramadhan sahaja kita dapat menyaksikan beberapa lagi peristiwa yang bersejarah iaitu pada tarikh ini telah turunnya wahyu yang pertama kepada Rasulullah s.a.w yang sewaktu itu berumur 40 tahun melalui malaikat Jibril ketika nabi sedang bermunajat di Gua Hira’. Pada Subuh pagi Jumaat 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah pula Sayyidina Ali bin Abi Talib telah ditikam oleh Ibnu Maljam ketika menuju ke masjid dimana tikaman itu telah terkena dibahagian kepala Sayyidina Ali. Tikaman dengan menggunakan senjata yang beracun ini telah menyebabkan Sayyidina Ali menghembus nafas yang terakhir pada malam Ahad 19 Ramadhan tahun 40 Hijrah ketika berumur 63 tahun.

Apa yang mahu ditekan pada hari ini ialah mengenai peristiwa peperangan Badar al-Kubra yang merupakan tapak kemenangan Islam dalam melebarkan penguasaan seterusnya. Peperangan Badar al-Kubra ini telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah di mana pada tahun ini juga Allah mewajibkan berpuasa sebulan Ramadhan. Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah s.a.w sendiri yang mengetuai pasukan tentera Islam seramai 313 orang telah menuju ke Badar bertujuan untuk menyekat qafilah perniagaan Quraisy pimpinan Abu Sufian bin Harb yang baru pulang dari Syam menuju ke Mekah. Jumlah tentera Islam tidak begitu ramai kerana ia pada asalnya merupakan suatu operasi dalam menyekat qabilah tersebut dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak meramalkan akan berlakunya suatu peperangan terbuka yang besar dan bersejarah. Oleh itu ramai di kalangan sahabat tidak menyertai gerakan ini.

Malangnya kemaraan tentera Islam telah diketahui oleh Abu Sufian melalui pengintip yang telah ditugaskannya lalu dia memerintahkan agar wakil qafilah untuk meminta bantuan daripada Kafir Quraisy di Mekah. Disamping itu Abu Sufian telah melalui jalan lain iaitu melalui pantai sehingga mereka berjaya menyelamatkan diri daripada bertembung dengan tentera Islam. Setelah itu dia menghantar utusan untuk bertemu Abu Jahal bagi menyatakan bahawa mereka telah selamat dan tidak memerlukan bantuan tentera lagi tetapi Abu Jahal dengan sombongnya menyatakan : " Demi Allah! Kita tidak mahu pulang sekarang sehingga kita sampai di Badar. Kita berpesta di sana selama 3 hari, kita sembelih unta. Minum arak dan menyanyi sehingga seluruh bangsa arab mengetahui perhimpunan dan kedatangan kita. Maka kehebatan kita terus menerus dapat dilihat oleh mereka ".


Rasulullah s.a.w ini telah mengetahui tentang qafilah Abu Sufian telah berjaya menyelamatkan diri disamping bala tentera kafir Quraisy yang besar iaitu seramai 1300 orang dan lengkap bersenjata telah tiba di Badar. Oleh itu tentera Islam tidak boleh mengelak lagi daripada bertempur kerana jika mereka berundur bererti kafir Quraisy akan mendapat kemenangan moral dari segi politik dan tentera serta mendapat kedudukan yang kuat di Semenanjung Arab dan memungkinkan mereka bermaharajalela sesuka hati. Walau pun dengan jumlah yang sedikit dan kelengkapan yang tidak mencukupi namun semangat jihad demi mempertahankan Islam terus membara dalam diri tentera Islam.


Selepas itu Rasulullah s.a.w telah membentuk 2 pasukan pengintip dalam meninjau kekuatan musuh. Pada malam itu Allah menurunkan hujan sebagai pertolongan kepada tentera Islam dan bencana kepada tentera musuh. Kemudian tentera Islam telah membina markaz disebuah tempat yang terletaknya mata air paling dekat dengan musuh di mana di situ mereka telah membina kolam disamping menimbus tempat-tempat air yang lain. Dengan cara ini musuh akan keputusan bekalan air.

Kemudian Sa’ad bin Mu’adz telah mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w : " Wahai Rasulullah! Saya cadangkan agar dibina tempat perlindungan untuk menjamin keselalamtan Rasulullah. Biar kami bertempur dengan musuh. Jika Allah mengurniakan kemenangan kepada kita dan kita dapat mengatasi musuh maka itulah yang sangat kami kehendaki. Sekiranya Allah mengkehendaki berlaku sebaliknya maka engkau tetap berada dalam keadaan selamat di tempat itu. Engkau boleh terus bersama dengan orang-orang yang masih ada dan mereka juga kasih kepadamu seperti kami juga. Jikalau engkau mahu meneruskan lagi peperangan, mereka sekali-kali tidak akan meninggalkanmu dan terus mempertahankanmu dengan sama-sama berjihad bersamamu". Lalu para sahabat membina tempat untuk Rasulullah s.a.w di satu tempat yang tinggi yang membolehkan baginda memerhati ke arah medan pertempuran. Pada malam Jumaat 17 Ramadhan itu tentera Islam diberikan ketenangan oleh Allah di mana mereka dapat tidur dengan nyenyak kerana keesokan harinya mereka akan bertempur dengan musuh Allah itu.


Pada pagi Jumaat 17 Ramadhan, kedua-dua belah pihak bersedia untuk berperangan di mana Rasulullah s.a.w sendiri telah menyusun sof tentera dengan susunan yang kemas dan rapi. Selepas itu Rasulullah s.a.w telah mengangkat tangan memohon pertolongan Allah. Antara doa baginda ialah yang bermaksud :

" Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, kurniakanlah apa yang dijanjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, jika Engkau binasakan pasukan kecil ini maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini ".

Pertempuran bermula dengan Rasulullah s.a.w meminta agar Ubaidah bin Harith, Sayyidina Hamzah dan Sayyidina Ali mara untuk menentang tiga pemimpin Quraisy yang telah mencabar tentera Islam. Ketiga-tiga pahlawan Islam telah berjaya membunuh musuh mereka di mana kemenangan ini merupakan kemenangan awal dalam menyemarakkan lagi semangat jihad. Selepas itulah berlakunya pertempuran di mana pada peringkat pertama tentera Islam mengambil tindakan bertahan di mana tentera musuh berjaya dilumpuhkan dengan kehilangan banyak jiwa. Dalam saat yang genting ini Rasulullah terus bermunajat kepada Allah sehingga kain yang disangkut dibahunya terjatuh di mana Sayyidina Abu Bakar yang melihat perkara ini terasa begitu sedih dan berkata kepada Rasulullah : " Cukuplah wahai nabi Allah! ". Allah mengabulkan doa baginda dengan menghantar tentera malaikat.

Pada peringkat kedua tentera Islam mula mengambil tindakan menyerang di mana serangan ini turut dibantu oleh tentera daripada kalangan malaikat di mana antara yang dapat disaksikan ialah bagaimana terputusnya kepala dan tangan musuh tanpa dapat dilihat sesiapa yang memancungnya. Seorang tentera Islam yang sedang mengejar musuh tiba-tiba terdengar pukulan cemeti dari atas dan terdengar suara pahlawan berkuda. Seorang sahabat lagi dapat melihat bagaimana kepala musuh terputus sebelum pedangnya mengenai batang tengkuk musuh itu. Iblis yang menyerupai dirinya sebagai Suraqah bin Malik merasa gementar apabila melihat penyertaan malaikat. Dia terus lari dan terlanggar Al-Harith bin Hisyam sehingga rebah. Apabila ditanya mengapa dia cuba lari lalu dia menyatakan bahawa dia nampak apa tidak mampu dilihat oleh tentera kafir dan dia begitu takut kepada Allah yang amat pedih siksaanNya.
Kemudian dia lari sekuat hatinya dan mencampakkan dirinya ke laut.


Abu Jahal sendiri berjaya dibunuh apabila Mu’adz bin Amru telah merempuh lapisan lembing dan tombak yang mengelilingi Abu Jahal sehingga dia berjaya menetak di tengah betisnya. Tiba-tiba Ikramah anak Abu Jahal menetak ke leher pemuda itu lalu terkena tangannya sehingga hampir putus dan hanya tergantung dikulitnya sahaja. Dia meneruskan serangan terhadap Abu Jahal dengan mengheret tangannya yang terkulai di mana ketika terasa sakit lalu dia memijak tangan itu dengan kakinya supaya putus. Kemudian Mu’adz berjaya menetak Abu Jahal sehingga hampir maut. Abdullah bin Mas’ud yang mencari-cari Abu Jahal telah menjumpainya lalu terus memancung lehernya di mana kepalanya telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menyatakan bahawa inilah dia Firaun umat ini.


Peperangan yang bersejarah ini berakhir dengan kemenangan yang nyata kepada tentera Islam di mana 70 orang musyrikin terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Manakala 14 orang tentera Islam telah gugur syahid. Kemenangan ini terus diberitahu kepada penduduk Madinah melalui 2 orang utusan yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w bagi menafikan berita bohong yang disampaikan oleh puak munafik dan yahudi yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Berita kemenangan ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan yang menjadi lambang kepada keagungan Islam yang bakal menguasai dunia. Mereka bertakbir dan bertahlil menyambut berita ini dan ada para sahabat yang terkemuka yang tinggal di Madinah telah menuju ke Badar bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada Rasulullah s.a.w. Manakala Sayyidina Othman pula mendapat berita gembira ini ketika sedang mengkebumikan jenazah anak Rasulullah s.a.w Ruqayyah yang baru meninggal dunia.


Kemenangan ini telah meletakkan Islam agama yang tertinggi dan umat Islam menjadi bangsa yang kuat bukan lagi sebagai mangsa penindasan para kuffar. Semoga semangat jihad Badar ini akan membakar semangat kita dalam memastikan Islam menjadi agama yang memerintah bukannya agama yang diperintah.

Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Anfal yang bermaksud :


" Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankannya bagimu. Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut "

Firman Allah dalam ayat 16 surah as-Sajadah yang bermaksud :


"Lambung mereka jauh daripada tempat tidurnya sedangkan mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan mengharap dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka "


Perasaan antara al-Raja’ iaitu terlalu mengharap dan al-Khauf iaitu takut mestilah sentiasa kita sematkan dalam hati agar kita tidak terlalu yakin bahawa segala amalan kita samada solat, puasa, sedekah dan amalan soleh yang lain memang telah diterima oleh Allah sehingga kita tidak berusaha untuk memperelokkannya dan kita juga tidak boleh merasa terlalu takut segala amalan tadi sentiasa ditolak sehingga timbul perasaan malas untuk beribadat sehingga kita terus hanyut dengan maksiat. Kita mesti berada antara keduanya iaitu antara takut dan mengharap agar segala amalan kita tidak dilakukan sambil lewa serta ia dilakukan dengan penuh keyakinan dan ikhlas sambil mengharap ia diterima oleh Allah

No comments:

ALQURAN & RECITATION

Quran Explorer - [Sura : 1, Verse : 1 - 7]