Wednesday, November 30, 2011

IKHWANUL MUSLIMUN MELALUI FREEDOM AND JUSTICE PARTY (HIZBU AL HURRIYAH WAL 'ADALAH) MEMPERTAHANKAN ARTIKEL 2 PERLEMBAGAAN REPUBLIK ARAB MESIR

Oleh: Shamsul Ma'arif Hj Ismail
29 November 2011/2 Muharram 1433H

Perkembangan politik dan sosial yang berlaku di bumi Mesir sangat mengujakan. Setelah sekian lama Ikhwan diharamkan dan Regim Hosni Mubarak tidak meluluskan permohonan Ikhwanul Muslimun (IM) untuk menubuhkan sebuah parti politik telah berubah pasca revolusi. Kebebasan IM untuk bergerak dan kelulusan Parti Kebebasan dan Keadilan yang ditubuhkan Ikhwan kini membantu mencorakkan suasana baru bagi umat Islam di Mesir. Bahkan kumpulan Salafi yang dulunya tidak mahu melibatkan diri dalam politik pun turut terlibat dalam unjuk rasa dan penglibatan politik demokrasi.

Ikhwan mewajibkan seluruh anggotanya menjadi ahli kepada parti baru mereka namun parti Kebebasan dan Keadilan adalah parti terbuka untuk semua rakyat Mesir walaupun beragama bukan Islam. Parti baru ini tidak dikawal melalui arahan IM Mesir secara terus namun semua pimpinan parti ini adalah daripada pimpinan utama Ikhwan dan menjayakan agenda Ikhwan dengan kuasa pentadbiran yang independan. Parti ini terus menjaga dan memelihara dasar-dasar Islam dan menyokong dasar Islam dalam perlembagaan Mesir seperti dalam article 2 ( Constitutional Declaration 2011) "Islam is the religion of the state, and the Arabic language is its official language. The principles of Islamic law are the chief source of legislation. "

Keperihatinan Ikhwan menyokong dan mempertahankan dasar Islam di dalam perlembagaan yang diproklamasikan oleh Majlis Tentera adalah bertepatan dengan dasar-dasar Islam yang diperjuangkan Ikhwan. Meskipun parti mereka Hizbu Hurriyah wal Adalah adalah parti yang diasaskan mengikut kehendak perlembagaan yang melarang wujud parti basis agama dan bangsa, mereka tetap menjaga dan memelihara dasar dan perjuangan Ikhwan. Sudah tentu ini menggambarkan kebijaksanaan dan pemeliharaan prinsip teras yang wajar sentiasa dipelihara.

Setiausaha Agungnya Dr. Mohamed Saad Katatni, (Secretary-General of the Freedom and Justice Party (FJP) menjelaskannya kepada wartawan Al-Jazeera malam tadi.
Pendirian bijak Ikhwan ini hendaklah menjadi input dan pengajaran kepada parti-parti baru yang ingin menubuhkan usaha politik di negeri masing-masing. Meskipun adanya anggota pengasasnya terdiri dari Coptic Kristian dan Wanita namun semua mereka telah menerima dasar-dasar Islam di dalam parti dan juga menjunjung Artikel 2 yang menjadikan Islam sebagai agama bagi negara dan bahasa arab sebagai bahasa resmi. Prinsip undang-undang Syariah adalah sumber utama Legislasi.

Gerakan Islam yang ingin mengambil kesempatan ruang politik janganlah sesekali menjual prinsip perjuangan mereka demi mendapatkan restu dan kuasa yang singkat. Rakyat bukanlah penentu kebenaran, namun Islam lah asas dan dasar yang harus dipertahankan sesuai dengan perjuangan Nabi-nabi dan rasul yang seringkali mendapat bantahan kaum mereka. Sikap mencairkan prinsip atas nama demokrasi dan kebebasan bukan hanya bertentang dengan prinsip akidah namun akan mengheret gerakan Islam ke kancah perpecahan ummah.

Ketika ditanya oleh wartawan Jazeera apa bezanya Parti Hurriyah wal Adalah @ FJP berbanding dengan Pari AKP di Turki, SU Agung Parti menjelaskan bahawa keadaan politik yang berperlembagaan sekular di Turki sejak dulu lagi adalah berbeza dengan Mesir yang menjadikan Islam sebagai agama negara. Sesungguhnya ini adalah jawapan yang sangat tepat. Waqik atau realiti Turky bukan menjadi asas pendekatan yang sama. Parti AKP yang cenderung kepada Islam bertindak dalam kerangka perlembagaan Turki yang sekular manakala Parti FJP (Parti IM) bergerak dalam kerangka perlembagaan Mesir yang menjadikan Islam agama negara sudah tentu punya ruang yang lebih luas dan Islamik.

Di Libya, Majlis Peralihan (NTC) juga mengambil pendekatan ini. Morocco yang baru menerima kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan mungkin akan mengambil pendekatan yang sama. Mereka yang menggunakan sistem propotional representation perlu bekerjasama dengan parti-parti lain yang memenangi pilihanraya baru-baru ini.
Ada maklumat mengatakan mereka akan bekerjasama dengan parti politik yang cenderung menyokong Raja Morocco yang telahpun mengurangkan sedikit kuasa mutlaknya kepada kuasa rakyat bagi mengelakkan kemarahan rakyat terhadap kezaliman raja-raja yang memerintah sebelum ini.

Perubahan lanskap politik Mesir telah membuka peluang kepada kumpulan Islam. Namun dalam masa yang sama juga membuka peluang kepada golongan liberal dan sosialis. Ianya juga membuka ruang kepada gerakan hak asasi manusia melalui pemuda-pemuda Mesir yang condong kepada Barat. Jesteru apapun yang telah berlaku memberi ruang yang luas kepada demokrasi yakni kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Peristiwa seorang gadis muda Mesir yang mendedahkan seluruh tubuhnya di dalam Face Book mendapat kecaman hebat dari seluruh rakyat Mesir yang masih mempertahankan jati diri masyarakat Timur. Walaupun begitu wanita-wanita Israel dengan bangganya menubuhkan fan group dan menyokong gadis Alia El-Mahdy ini sebagai tanda sokongan kepada sekularisasi dan liberalnya atas nama kebebasan mutlak individu.

Sejak kebangkitan rakyat yang disokong oleh Majlis tentera keadaan politik masih belum stabil. Setelah 10 bulan selepas tamatnya Regim Hosni Mubarak, seramai 50 juta pengundi akan memilih wakil mereka di parlimen. Dimaklumkan 50 buah parti terlibat dalam Pilihanraya pertama kali ini. Meskipun demikian Pilihanraya di Mesir semalam telah mendapat sokongan luar biasa rakyat. Peratus keluar mengundi meningkat walaupun ada sesetengah tempat mengundi menghadapi krisis pengurusan pilihanraya. Namun golongan wanita antara yang awal keluar mengundi.

Proses peralihan dari kerajaan tentera yang sifatnya sementara kepada kerajaan awam adalah hasrat rakyat yang telah melakukan revolusi tempohari. Namun adanya usaha melewat-lewatkan proses ini serta wujudnya anasir luar dan asing yang mahu menghuru harakan keadaan, melakukan demonstrasi tidak terkawal, membakar bangunan kerajaan, serta mewujudkan rasa tidak tenteram hubungan antara Islam dan Kristian dicetuskan oleh golongan yang mahukan kerajaan Tentera terus berkuasa atau mahukan kerajaan yang wujud selepas ini semaklin liberal dan condong kepada Barat.

Sekarang terpulanglah kepada rakyat Mesir untuk menentukan destini mereka. Semoga Islam yang sudah sekian lama mendarah daging dalam jantung umat dan pendekatan bijak Ikhwan sejak sekian lama serta perpaduan umat Islam di Mesir memungkinkan rakyat memilih kepimpinan dari kalangan mereka yang memperjuangkan Islam dan memungkinkan kemenangan besar parti-parti yang cenderung kepada Islam. Dari kajian yang dibuat 40% rakyat akan memilih Parti politik dari IM.

Akhirnya dakwah dan kebebasan untuk menyebarkan fikrah Islam itulah pra syarat kepada kemenangan Islam. Kuasa semata-mata tanpa ada dokongan masyarakat dan ummah tidak akan membawa kuasa itu kemana-mana. Serangan pemikiran dan perubahan yang di dokong kepentingan Barat akan terus berusaha melebarkan pengaruh mereka di kalangan generasi muda. Tanpa adanya ketahanan dan keteguhan iman generasi muda akan hanyut diganyang idea-idea Barat dan faham liberalisme serta libertarianisme yang menjadikan hak individu sebagai satu yang sacred dan suci tanpa adanya pengaruh agama di dalam masyarakat.

Semoga Allah SWT memberi taufik dan inayah serta kejayaan bagi umat Islam di Mesir mengharung hari-hari penentu yang akan menyerlahkan keamanan, kebebasan yang didasari agama Islam serta kebaikan ekonomi dan pendidikan bagi Rakyat Mesir.

Sunday, October 30, 2011

Zulhijjah & Idil Adha : Beberapa Isu & Hukum


Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..

hajmecca.jpg


KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Nabi SAW :

"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman :

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).

Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).



AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut :

ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي

Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :

احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :

1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,

1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan

1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ

Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]

Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya:

"tidak boleh !"

Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.

APAKAH HAJI AKBAR ?

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:

"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".

Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam

Saturday, October 29, 2011

Ennahdha umumkan kemenangan, janji bekerjasama dengan semua pihak

Rabu 26 Oktober 2011

Kenyataan Parti Ennahdha mengenai Keputusan Pilihanraya Tunisia

Parti Ennahdha telah memperolehi 40% dari kerusi Parlimen Kebangsaan. Dengan amanah yang diberikan di dalam pilihanraya bersejarah ini, Ennahdha bukan lagi milik ahli, penyokong maupun pengundinya, bahkan kini ia milik semua rakyat Tunisia.

Kami amat gembira melihat iklim politik tanpa ketegangan yang sering dikaitkan dengan kempen pilihanraya, di samping pendirian matang dan bertanggungjawab dari pemimpin politik. Kita memang perlu belajar prinsip baru demokrasi termasuk mengiktiraf peranan penting pembangkang.

Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa kami ingin bekerjasama dengan semua pihak tanpa kecuali. Kami terbuka kepada semua parti politik, samaada di dalam atau di luar Parlimen, serta semua badan-badan masyarakat madani seperti Kesatuan Sekerja dan pertubuhan-pertubuhan lain .

Kami sedang mengadakan perbincangan bagi membangunkan perikatan berdasarkan perkongsian program ekonomi, sosial dan politik.

Kami menghargai kecekapan pentadbiran Tunisia dan keterampilan penjawat awamnya yang bakal menjadi sebahagian daripada rakyat yang diperlukan oleh Tunisia di dalam fasa baru negara.

Kami tidak menyertai kerajaan melalui kereta kebal atau rampasan kuasa, tetapi berdasarkan keabsahan pilihanraya yang bersejarah ini. Jadi kami menekankan kesinambungan Negara Tunisia dan iltizam kami terhadap semua perjanjian yang dimeterai.

Kami percaya adalah menjadi tanggung-jawab kerajaan bagi membawa pembangunan dan penjanaan kekayaan dan penyediaan pekerjaan. Kami ingin memberi jaminan ini kepada pasaran dan rakan ekonomi antarabangsa.

Rakyat Tunisia telah lama menderita di bawah dictator dan kini mereka berpeluang untuk menikmati kebebasan. Tunisia baru akan bebas daripada penindasan dan akan bersikap terbuka kepada semua rakyat.

Monday, October 17, 2011

Islam Di Amerika.Satu Sejarah Yang Digelapkan


Sejarah mereka
telah digelapkan
Jika anda melawat Washington DC, pergilah ke Perpustakaan Kongres (Library of Congress). Disana anda boleh melihat perjanjian kerajaan Amerika Syarikat dengan suku Cherokee, iaitu salah satu suku Indian, tahun 1787. Pada perjanjian itu, anda akan menemui tanda tangan Ketua Suku Cherokee yang bernama Abde Khak dan Muhammad Ibnu Abdullah.

Isi perjanjian itu antara lain adalah mengenai hak suku Cherokee dalam menjalankan perdagangan, perkapalan, dan pemerintahan suku cherokee pada waktu itu adalah mengikut undang-undang Islam. Anda juga akan menemui pakaian suku Cherokee yang menutup aurat sedangkan kaum lelaki memakai turban (serban).

Kaum wanita suku Cherokee menutup aurat

Cara berpakaian ini boleh didapati di dalam gambar atau lukisan suku cherokee yang diambil gambarnya sebelum tahun 1832. Ketua suku Cherokee beragama Islam yang terakhir adalah Ramadan Ibnu Wati.

Gambaran pemakaian serban siku Cherokee

Bercakap tentang suku Cherokee, Sequoyah adalah salah seorang yang berpengaruh di dalam suku ini. Beliau adalah orang asli suku cherokee yang berpendidikan dan menghidupkan kembali Syllabary suku mereka pada 1821. Syllabary adalah seperti aksara. Jika kita sekarang mengenal abjad A hingga Z, maka suku Cherokee mempunyai aksaranya yang tersendiri.

Acuan gangsa Seqvoyah di Perpustakaan Kongres

Yang menariknya adalah aksara yang dihidupkan kembali oleh Sequoyah ini amat mirip dengan bahasa Arab. Bahkan, beberapa tulisan masyarakat cherokee abad ke-7 yang ditemui pada batuan di Nevada terpahat kata yang sangat mirip dengan kata "Muhammad" dalam bahasa Bahasa Arab.





Nama-nama suku Indian yang berasal dari bahasa Arab tidak hanya ditemui pada suku Cherokee (Shar-kee) shaja tetapi juga ditemui di dalam suku Anasazi, Apache, Arawak, Makah, Hohokam, Hupa, Hopi, Mahigan, Mohawk, Nazca, Zulu, dan Zuni.

Suku Makah yang menutup aurat

Gadis Zuni, 1903

Selain itu, beberapa ketua suku Indian juga mengenakan penutup kepala khas orang Islam seperti ketua Suku Chippewa, Creek, Iowa, Kansas, Miami, Potawatomi, Sauk, Fox, Seminole, Shawnee, Sioux, Winnebago, dan Yuchi. Ini semua dapat dilihat pada foto-foto di antara tahun 1835 dan 1870.

Klik gambar untuk besarkan

Secara umumnya, suku-suku Indian di Amerika percaya adanya Tuhan yang menguasai alam semesta. Bagi mereka, tuhan tidak dapat dilihat oleh panca indera. Mereka juga yakin bahawa tugas utama manusia yang diciptakan Tuhan adalah untuk memuja dan menyembah-Nya.

Seperti kata-kata seorang ketua Suku Ohiyesa: "In the life of the Indian, there was only inevitable duty. The duty of prayer and the daily recognition of the Unseen and the Eternal".

Bukankah Al-Qur'an juga memberitakan bahawa tujuan penciptaan manusia dan jin semata-mata untuk beribadah pada Allah.


Sejarah Islam Dan Suku Indian Cheeroke

Sejarah hubung kait islam dan penduduk Red Indian Amerika ini adalah panjang. Semangat orang-orang Islam dan China ketika itu untuk mengenal lebih jauh tentang dunia selain untuk melebarkan pengaruh, mencari sumber dan jalan perdagangan baru dan ini menyebabkan dakwah Islam semakin meluas dan mendorong mereka untuk lebih berani melintasi kawasan yang masih dianggap gelap dalam peta-peta mereka waktu itu. Sebagai contoh adalah Cheng Ho (nama islamnya Hajji Mahmud Shamsuddin) dan Ibnu Batutta. Selain itu terdapat juga pelayar-pelayar Islam yang lain tetapi tidak tercatat pada buku -buku akademik.

Cheng Ho @ Zheng He @ Hajji Mahmud Shamsuddin

Para ahli geografi dan intelektual dari kalangan muslim yang mencatatkan perjalanan ke benua Amerika adalah Abul-Hassan Ali Ibn Al Hussain Al Masudi (meninggal tahun 957), Al Idrisi (meninggal tahun 1166), Chihab Addin Abul Abbas Ahmad bin Fadhl Al Umari (1300-1384) dan Ibn Battuta (meninggal tahun 1369).

Menurut catatan ahli sejarah dan ahli geografi Muslim Al Masudi (871-957), Khashkhash Ibn Saeed Ibn Aswad adalah seorang penjelajah muslim dari Cordoba di Andalusia, telah sampai ke benua Amerika pada tahun 889 Masihi. Dalam bukunya, 'Muruj Adh-dhahab wa Maadin al-Jawhar' (The Meadows of Gold and Quarries of Jewels), Al Masudi melaporkan bahawa semasa pemerintahan Khalifah Sepanyol Abdullah Ibn Muhammad (888-912), Khashkhash Ibn Saeed Ibn Aswad berlayar dari Delba (Palos) pada tahun 889, menyeberangi Lautan Atlantik hingga menemui wilayah yang asing dan disebutnya sebagai Ard Majhoola. Kemudian beliau kembali dengan membawa pelbagai barangan yang menakjubkan. Selepas penemuan itu, banyak pelayaran menuju daratan di seberang Lautan Atlantik dilakukan. Al Masudi juga menulis buku 'Akhbar Az Zaman' yang memuat bahan-bahan sejarah dari pengembaraan para pedagang ke Afrika dan Asia.

Dr. Youssef Mroueh juga menulis bahawa semasa pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III (tahun 929-961) dari dinasti Umayah, tercatat adanya orang-orang Islam dari Afrika yang berlayar dari pelabuhan Delba (Palos) di Sepanyol menuju ke barat lautan yang gelap dan berkabut , iaitu Lautan Atlantik. Setelah itu mereka berjaya kembali pulang ke Palos dengan membawa barang-barang bernilai yang diperolehnya dari tanah yang begitu asing pada masa dulu.

Palos, Sepanyol
Beliau juga menulis menurut catatan ahli sejarah Abu Bakr Ibn Umar Al-Gutiyya bahawa pada masa pemerintahan Khalifah Sepanyol, Hisham II (976-1009) seorang pelayar dari Granada bernama Ibn Farrukh tercatat meninggalkan pelabuhan Kadesh pada bulan Februari tahun 999 melintasi Lautan Atlantik dan mendarat di Gando (Kepulaun Canary).

Ibn Farrukh mengunjungi Raja Guanariga dan kemudian meneruskan pelayarannya ke barat sehingga melihat dua pulau dan menamakannya Capraria dan Pluitana. Ibn Farrukh kembali ke Sepanyol pada bulan Mei 999.

Pelayaran melintasi Lautan Atlantik dari Maghribi juga dicatat oleh penjelajah laut Shaikh Zayn-eddin Ali bin Fadhel Al-Mazandarani. Kapalnya bertolak dari Tarfaya di Maghribi pada zaman Sultan Abu-Yacoub Sidi Youssef (1286-1307) raja keenam dalam dinasti Marinid. Kapalnya mendarat di pulau Green di Laut Caribbean pada tahun 1291. Menurut Dr. Morueh, catatan perjalanan ini banyak dijadikan rujukan oleh para saintis Islam.

Sultan-sultan dari kerajaan Mali di Afrika barat yang beribukota di Timbuktu juga pernah melakukan pelayaran sehingga ke benua Amerika. Sejarawan Chihab Addin Abul-Abbas Ahmad bin Fadhl Al Umari (1300-1384) telah memerincikan eksplorasi geografi ini. Timbuktu yang berada di tengah-tengah afrika kini dilupakan, dahulunya merupakan pusat peradaban, perpustakaan dan pusat keilmuan yang maju di Afrika. Ekpedisi perjalanan darat dan laut banyak dilakukan baik menuju ke Timbuktu ataupun bermula dari Timbuktu.

Lokasi Timbuktu
Sultan yang tercatat akan eksplorasinya hingga ke benua baru waktu itu adalah Sultan Abu Bakari I (1285-1312), iaitu saudara Sultan Mansa Kankan Musa (1312-1337), yang telah melakukan dua kali ekspedisi melintasi Lautan Atlantik sehingga ke Amerika dan menyusuri sungai Mississippi.


Sultan Abu Bakari I melakukan eksplorasi di Amerika tengah dan utara dengan menyusuri sungai Mississippi di antara tahun 1309-1312. Para eksplorasi ini berbahasa Arab. Dua abad kemudian, penemuan benua Amerika dilakarkan di dalam peta berwarna Piri Re'isi yang dibuat tahun 1513, dan dipersembahkan kepada raja Ottoman Sultan Selim I tahun 1517.

Peta Piri Re'isi
Perbandingan peta Piri Re'isi dengan peta sebenar


Kisah Columbus Menemui Benua Amerika

Berbalik kepada cerita Columbus, Columbus sendiri mengetahui bahawa orang-orang Carib (Caribbean) adalah pengikut Nabi Muhammad. Orang-orang Islam telah berada di sana sebelum ketibaan Columbus terutama orang-orang dari Pantai Barat Afrika. Mereka mendiami Caribbean, Amerika Utara dan Selatan. Namun tidak seperti Columbus yang ingin menguasai dan memperhambakan rakyat Amerika. Orang-orang Islam datang untuk berniaga dan ada juga yang mengahwini orang-orang pribumi.

Columbus juga mengakui pada 21 Oktober 1492 dalam pelayarannya antara Gibara dan Pantai Cuba telah melihat sebuah masjid (yang berada di atas bukit dengan indahnya menurut sumber tulisan lain). Sisa-sisa runtuhan masjid telah ditemui di Cuba, Mexico, Texas dan Nevada. Ini sekaligus menjadi bukti kukuh bahawa Islam telah lama bertapak di sana.

Dan fakta yang perlu kita ketahui adalah 2 orang nahkoda kapal yang dipimpin oleh Columbus iaitu kapten kapal Pinta dan Nina adalah orang-orang muslim iaitu Martin Alonso Pinzon dan Vicente Yanex Pinzon. Mereka berdua adalah bersaudara dan mempunyai kaitan persaudaraan dengan Sultan Maghribi Abuzayan Muhammad III (1362). [THACHER, JOHN BOYD: Christopher Columbus, New York 1950]

Martin Alonso Pinzon

Vicente Yanex Pinzon


Kenapa hanya Columbus yang dikenali sebagai orang yang menjumai benua amerika? Kerana pada waktu itu kaum yahudi diusir dari sepanyol (sebanyak 300,000 orang yahudi yang diusir oleh raja Ferdinand). Orang-orang Yahudi mengumpul dana untuk pelayaran Columbus dan berita 'penemuan benua Amerika' telah diberitahu oleh Christopher Columbus kepada kawan-kawannya yang beragama Yahudi di Sepanyol.

Pelayaran Columbus ini telah dijadikan popular dan kisah ini diperlukan untuk menciptakan legenda sesuai dengan kehendak Yahudi yang ingin menguasai dunia. Tidak menghairankan jika sejarah yang kita pelajari sekarang menipu kita. Ini disebabkan semua media gergasi dunia dikuasai golongan Yahudi.

Fakta-fakta diatas memperlihatkan ketidak-jujuran penulisan fakta sejarah tentang penemuan benua Amerika. Penyelewengan sejarah oleh orang-orang Yahudi yang terjadi sejak pertama kali mereka bersama-sama orang-orang Eropah menjejakkan kaki di benua Amerika.

Laksamana Zheng He (Cheng Ho)

Tahukah anda? sebenarnya laksamana Zheng He atau lebih dikenali sebagai laksamana Cheng Ho di Malaysia dan Indonesia merupakan orang pertama yang menjumpai benua amerika, sekitar 70 tahun sebelum Columbus. Sekitar 70 tahun sebelum Columbus memacakkan benderanya di daratan Amerika, Laksamana Zheng He sudah terlebih dahulu sampai ke sana.

Salinan peta dunia hasil pelayaran Zheng Ho, lukisan asal pada tahun 1418


Para peserta seminar yang dianjurkan oleh Royal Geographical Society di London beberapa tahun lalu dihidangkan dengan satu fakta yang mengejutkan. Seorang ahli kapal selam dan sejarawan bernama Gavin Menzies telah memberikan hujah dan kertas kerja mengenai kajiannya terhadap siapa orang yang pertama menjumpai benua Amerika.

Pada seminar itu, Menzies menjelaskan bukti tentang pelayaran terkenal dari pelaut mahsyur berasal dari Cina, Laksamana Zheng He. Bersama bukti-bukti yang ditemui dari catatan sejarah, Menzies memberi kesimpulan bahawa pengembara terulung dari dinasti Ming itu adalah orang yang pertama menemui benua Amerika, bukannya Columbus.

Menurut Menzies, Zheng He 'mengalahkan' Columbus dengan tempoh beza waktu sekitar 70 tahun. Kenyataan Menzies ini dikuatkan dengan sejumlah bukti sejarah. Menzies menunjukkan peta dunia yang dilukis sebelum Columbus memulakan ekspedisinya (gambar di atas). Peta itu lengkap dengan gambar benua Amerika serta sebuah peta astronomi milik Zheng He.

Menzies melakukan kajian selama lebih dari 14 tahun. Ini termasuk kajian peta-peta kuno, bukti artifak dan juga pengembangan dari teknologi astronomi moden seperti melalui program software Starry Night.

Dari bukti-bukti yang diperolehi, Menzies mengatakan bahawa sebahagian besar peta mahupun tulisan pelayaran China kuno bersumber pada pelayaran Laksamana Zheng He. Penjelajahannya sehingga mencapai benua Amerika mengambil waktu antara tahun 1421 dan 1423. Sebelum itu, armada kapal Zheng He berlayar menyusuri jalur selatan melalui Afrika dan sampai ke Amerika Selatan.

Perbandingan armada Zheng He dan Colombus


Selama ini, masyarakat dunia mengetahui sejarah Zheng He sebagai penjelajah ulung tetapi tidak mendalami lebih dari itu. Dia lahir di Kunyang, kota yang berada di sebelah barat daya Negeri Yunnan, pada tahun 1371. Keluarganya yang bernama Ma, adalah sebahagian daripada warga minoriti Semur. Mereka berasal dari kawasan Asia Tengah serta menganut agama Islam.

Ayah dan datuk Zheng He diketahui pernah mengadakan perjalanan haji ke Tanah Suci Makkah. Zheng He adalah seorang Muslim yang taat.

Yunan adalah salah satu wilayah terakhir pertahanan bangsa Mongol, yang sudah lama wujud sebelum zaman dinasti Ming. Pada waktu dinasti Ming menguasai Yunan tahun 1382, Zheng He turut ditawan dan dibawa ke Nanjing. Ketika itu dia masih berusia 11 tahun.

Beberapa tahun selepas itu, Maharaja Cina telah memberikan nama Zheng He kepadanya hingga akhirnya dia menjadi salah satu panglima laut paling termashyur di dunia.sumber tranungkite


Saturday, July 30, 2011

SALAM RAMADHAN-AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

Saya Aminuddin Ruskam al-Dawamy ingin mengucap selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada keluarga saya, rakan-rakan, sahabat dan taulan serta seluruh kaum muslimin.

Bersempena dengan kemustajabnya doa pada bulan ini sudilah kiranya pihak pengunjung blog saya ini mendoakan saya dan keluarga agar Allah mengampunkan dosa kami, diberikan bimbingan taufiq, keikhlasan, dan sentiasa istiqamah pad jalan yang redhaiNya. Dijauhkan dari sifat-sifat yang dimurkaiNya dan jiwa yang leka dengan pelbagai ujian dunia. Semoga Allah melindungi kami sekeluarga.

Saya dengan penuh harapan memohon kepada Allah agar direzekikan sifat sabar, qanaah, khusyuk dan jiwa yang sentiasa tunduk kepada kebesaranNya.

Sudilah para pengunjung doakan saya sedemikian untuk ramadan kali ini, sebagai tanda terima kasih kepada web ini -jika ada- ataupun atas persahabatan, ataupun atas kasih sayang sesama muslim.

SEMOGA ALLAH MEMBERKATI & MEMBERIKAN KEBAIKAN YANG SAMA KEPADA SEMUA PARA PEMBACA & SAHABAT-SAHABAT SEKELIAN.

Aminuddin Ruskam al-Dawamy

Friday, July 29, 2011

Risalah Mursyid: Ramadan bulan perubahan

Perutusan dari Prof. Dr. Mohammad Badi’ – Mursyidul Am Ikhwan Muslimin

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan kita Rasulullah saw, dan selepas ..

Syaaban menyiapkan umat untuk Ramadan:

Sepatutnya umat Islam melalui hari-hari terakhir bulan Syaaban yang kini sudah membawa kita ke ambang Ramadan, ialah dengan melakukan seperti apa yang dilaporkan oleh Imam Ahmad dari Anas bin Malik yang menyatakan perbuatan Rasulullah saw pada bulan Syaaban, beliau berkata: "Bahawa nabi sangat menyukai berpuasa di bulan Syaaban," Sebabnya telah dinyatakan sendiri oleh baginda saw dalam sabdanya seperti yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi:

"... ia adalah bulan di mana amalan-amalan diangkat kepada Tuhan sekalian alam, saya amat menyukai sekiranya ketika amalan ku diangkat, aku sedang berpuasa" ,

Justeru bulan Syaaban adalah musim penutup kepada lembaran anda dan tuaian amalan anda tahun ini. Rasulullah sangat mengagungkan bulan ini kerana ianya sebagai pengenalan kepada bulan Ramadan. Oleh itu Syaaban adalah medan untuk berlumba-lumba dalam amal-amal yang baik dan mengembeleng ketaatan sebelum tiba bulan ‘al-Furqan’. Allah telah memperlihatkan segala kebaikan di bulan Syaaban kepada anda sebelum ia berlalu. Menurut Abu Bakr al-Balkhi: "Bulan Rejab adalah bulan untuk bercucuk tanam, bulan Syaaban adalah bulan mengairi tanaman, dan bulan Ramadan adalah bulan menuai tanaman."

Oleh itu, Rasulullah saw pernah bersabda (bermaksud):

"Inilah bulan yang sering diabaikan orang"

Ini kerana bulan Syaaban adalah seperti pintu pagar yang membawa kita ke bulan Ramadan. Juga kerana Ramadhan adalah bulan di mana pintu-pintu Syurga dibuka, seperti yang diberitakan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya (bermaksud):

"Apabila tiba bulan Ramadhan, pintu-pintu Syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan dibelenggu." (Bukhari),

Oleh itu, bulan Syaaban adalah bulan latihan dan pemantapan tarbiyah dan rabbani; supaya seorang individu itu layak untuk melakukan ketaatan pada bulan Ramadan, kerana di bulan ini terkandung program pemantapan tarbawi yang dapat dilakukan oleh orang Islam pada bulan Syaaban sebagai persediaan untuk bulan Ramadan yang penuh berkat:



"Ya Allah, sampaikanlah kami ke bulan Ramadan"

Ini adalah sebahagian dari doa Nabi saw:

" Ya Allah berkati kami di bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan. "

Pada ambang Ramadan:

Inilah bulan Ramadan, yang semakin hampir ketibaannya dengan penuh sinar, harum, kebaikan dan kesucian, di mana Ramadan datang untuk mendidik manusia supaya memiliki kekuatan kemahuan dan kehebatan perubahan dalam menanggung kesukaran, dan kemenangan ke atas rintangan dan kesulitan hidup. Nabi Muhammad saw seringkali mengucapkan tahniah kepada para sahabat dengan kedatangan bulan Ramadan dan menyampaikan khabar gembira dan berkata kepada mereka:

Sesungguhnya Ramadhan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah S.W.T telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta dibelenggu syaitan. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang tidak diberikan kebajikan malam itu, bererti diharamkan baginya segala rupa kebajikan”. " (Riwayat Ahmad).

Ramadhan dan Perubahan

Bersedia untuk mengubah jiwa individu, umat dan bangsa adalah isu penting masa kini, bahkan ianya salah satu ketetapan Allah (sunnatullah) dalam alam semesta. Firman Allah SWT (bermaksud):

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11)

Oleh itu, perubahan sesuatu keadaan tidak mungkin berlaku dengan angan-angan dan cita-cita semata-mata, tetapi mestilah dengan kerja yang serius dan bersungguh-sungguh, niat yang ikhlas dan akhlak yang teguh. Bulan Ramadan yang mulia ini adalah peluang sebenar untuk perubahan, kerana terdapat program yang praktikal untuk membaiki jiwa dan hati, dan permulaan sebenar dalam pembinaan umat:

“Jangan anda katakan: Dari mana untuk saya mula kerana mentaati Allah mesti bermula
Jangan anda katakan: Esok baru saya nak mula kerana mungkin akan datang hari terakhir anda”

Justeru, Ramadan adalah bulan perubahan, kerana berlaku perpindahan spiritual dan fizikal yang membaiki keadaan kita dan mengubah dalam diri kita. Perubahan positif memerlukan kita semua kepada kemahuan yang bergelora, keazaman yang kuat dan mengejar perubahan. Firman Allah SWT (bermaksud):

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah: 183).

Jika kita tidak merebut peluang di bulan perubahan ini, kita sebenarnya terlepas peluang untuk seumur hidup, kerana perubahan bererti berterusan di atas kebenaran dan suatu revolusi kepada kepalsuan, penipuan, ucapan sia-sia dan kedustaan. Menurut Rasulullah saw (bermaksud):

Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya. " (Bukhari),

dan Nabi saw bersabda (bermaksud):

"Tidaklah hanya berpuasa dari makan dan minum, tetapi berpuasa dari ucapan sia-sia dan lucah. Jika seseorang mengherdik kamu atau orang jahil mengeji kamu katakanlah: “Saya berpuasa, saya berpuasa" (Diriwayatkan oleh Al-Hakim dan disahihkan oleh Albani),

Namun semua ini hanya dari orang yang jujur ​​dengan Khaliq. Justeru Allah akan membenarkan apa yang beliau lakukan.

Di antara hasil perubahan terbesar pada bulan Ramadan: Penyerahan kepada hukum (undang-undang) Allah, dan pelaksanaan perintah dan syariat-Nya supaya seorang individu mencapai ketakwaan kepada Allah dalam semua keadaan, kerana bulan Ramadan dengan sifat semula jadinya mengubah kehidupan secara keseluruhan sebagai penjamin untuk membuat perubahan dalam kehidupan individu dan keluarga melalui program-programnya yang ‘rabbani dan istimewa.

Malah di antara bentuk perubahan pada bulan Ramadan: ketelitian, komitmen dan penyusunan masa. Anda lihat seluruh umat duduk di hadapan hidangan berbuka sementara menunggu makluman waktu berbuka melalui media, dan umat seluruhnya menegah dirinya daripada makan, minum dan hubungan seks mulai waktu Imsak, dan lihat seluruh umat berada dalam satu soff semasa solat, qiam dan Terawih; di mana jelas tergambar bagi setiap pemandangan dari atas atau dari jauh tentang pemandangan umat yang berada dalam suatu sistem, ketelitian dan susunan.

Salah satu waktu perubahan yang paling menarik dalam bulan Ramadhan: waktu berbuka tidak boleh dilengahkan dan tidak ditangguhkan walaupun satu minit. Rasulullah saw telah menjelaskan dalam sabdanya (bermaksud):

"Umatku akan terus dalam kebaikan selagi menyegerakan berbuka dan melambatkan makan sahur."

, yang mengesahkan hubungan rapat antara Ramadan dan umat secara keseluruhannya.

Di antara peristiwa perubahan yang paling lengkap pada bulan Ramadan: kita memelihara nikmat Allah kepada kita dengan melakukan revolusi rakyat dan meraih hasilnya. Kepantasan perubahan yang telah berlaku dan sedang berlaku sebagai tanda kekuasaan Allah ialah pelaksanaan undang-undang alam pada kadar kemampuan manusia. Inilah peluang yang telah tiba pada bulan Ramadan; untuk melaksanakan revolusi rakyat Arab dan memperolehi kemerdekaan mereka. Perubahan secara aman yang diingini rakyat dan kesedarannya yang berterusan mengenai revolusi dan terus memeliharanya walaupun masih menghadapi cabaran. Ini semua adalah hasil perancangan Allah semata-mata, yang telah mengejutkan Barat dan Timur, sepertimana telah mengejutkan ahli politik dan ahli-ahli fikir Islam dan lain-lain.

Salah satu pendirian perubahan yang paling kuat dalam bulan Ramadan: Memecahkan halangan takut dan gerun, yang menekankan bahawa kuasa sebenar untuk meminta pertolongan dan perlindungan hanya kepada Allah. Dengan itu para diktator dan rejim zalim tidak boleh menghambakan rakyat kita sekali lagi dan tidak boleh mengenakan pelbagai jenis ketidak-adilan dan kezaliman, kerana mempraktikkan firman Allah SWT (bermaksud):

“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu. (Al-Qashash: 5-6)

Akhirnya, Ramadan adalah bulan perubahan dan pembaikan untuk umat:

Salah satu lambang terbesar yang menyumbang kepada penyatuan umat Arab dan Islam dengan semua negara, mazhab, bahasa dan adat; di mana semua bersetuju dengan semua umat Islam di seluruh dunia bahawa berpuasa pada bulan Ramadan adalah fardu yang wajib di dalam rukun Islam.

Di bulan Ramadan umat mengambil berat soal mengeluarkan zakat harta; di mana ianya dapat menyumbang dalam merawat masalah pengangguran dan jenayah dalam masa yang sama, juga menyumbang kepada berakhirnya kemiskinan sejagat. Statistik menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada satu bilion seratus juta (1,100,000,000) orang miskin dan sangat miskin di dunia.

Di bulan Ramadan umat Islam mengeluarkan Zakat al-Fitr kepada orang yang memerlukan dan tidak memerlukan, untuk mewujudkan’takaful’ yang sebenar. Ini merupakan sesuatu yang diperkukuhkan oleh lebih daripada 130 ayat-ayat dalam al-Quran, dan beratus-ratus hadith nabi dalam menggalakkan untuk menderma dan mengorbankan harta kepada orang yang memerlukan miskin sama ada Islam atau tidak.

Ramadan menekankan kemerdekaan umat yang memiliki ciri-ciri tertentu dalam menghadapi serangan globalisasi yang menyeru kepada kemusnahan nilai dan akhlak, kerana umat Islam mempunyai sifatnya yang tersendiri, Allah SWT telah berfirman (bermaksud):

“dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat". (Al-Baqarah: 138).

Bulan Ramadan mengingatkan kita beberapa kemenangan umat dalam lipatan sejarahnya. Dua kemenangan yang paling besar pada zaman Nabi ialah Perang Badar dan penaklukan Makkah berlaku dalam bulan Ramadhan, pembukaan Al-Andalus yang diketuai oleh Tariq ibn Ziyad adalah pada 28 Ramadan 92 Hijrah, dan Pertempuran yang bernama Ain Jalut, di mana Mongol telah dikalahkan berlaku pada 15 Ramadan 658 Hijrah. Begitu juga Allah telah memberikan kemenangan pada 10 Ramadan pada tahun 1383H (6 Oktober 1973) ke atas Zionis perampas tanah dan tempat suci kita. Ini menepati janji Allah SWT yang telah berfirman (bermaksud):

“dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (Ar-Rom: 47),

Justeru, marilah kita jadikan Ramadan sebagai bulan perubahan supaya kita lebih dekat dengan pertolongan Allah yang sentiasa dekat. Firman Allah SWT (bermaksud):

“Maka mereka akan menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil bertanya secara mengejek: Bila berlakunya?" Katakanlah: "Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!" (Al-Isra’: 51).

Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw, keluarga dan para sahabatnya.
Dan Allah adalah Maha Besar dan segala pujian hanya bagi Tuhan.

ALQURAN & RECITATION

Quran Explorer - [Sura : 1, Verse : 1 - 7]